Oleh BADLISHAH MAT
NAIB Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar menafikan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam gabungan Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) yang ketika ini membentuk kerajaan Madani.
Beliau berkata, pendirian bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming berhubung perbezaan pandangan antara UMNO dalam isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak juga tidak mewakili DAP.
Ini kerana kata Pengerusi PH Kedah itu, Kian Ming kini bukan lagi pemimpin DAP.
“Jadi dakwaan bahawa DAP adalah abang besar dalam PH-BN tidak benar. Isu berkenaan sudah pun dinafikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pejabat Amanah Kedah, hari ini.
Tambah beliau, tidak berlaku juga kecelaruan antara kedua-dua gabungan tersebut seperti didakwa Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Malah, Mahfuz turut menyifatkan isu berkenaan sudah selesai setelah Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub sendiri membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pemimpin UMNO.
“Saya cuma ingin menyatakan bahawa saling memohon kemaafan dan memaafkan satu sama lain adalah satu tindakan yang mulia. Walaupun kita tidak melakukan sebarang kesalahan. Jadi, apabila Timbalan Presiden Amanah memohon maaf kepada (Presiden UMNO), Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, saya anggap perkara ini selesai, “ katanya.
Semalam, Muhammad Sanusi menyifatkan DAP bertindak sebagai ‘abang besar’ dalam PH dan BN apabila pemimpinnya tidak diasak untuk memohon ampun kepada UMNO ekoran pandangannya dalam isu pengampunan Najib.
Perkara itu berbeza dengan Amanah yang terus memohon maaf kepada UMNO setelah Pengarah Komunikasinya, Khalid Samad tidak bersetuju dengan isu pengampunan diraja terhadap Najib yang dipohon UMNO.
Dalam perkembangan lain, Mahfuz meminta Muhammad Sanusi segera menyelesaikan saman fitnah sebanyak RM120,000 berserta kos tambahan atau notis kebankrapan difailkan ke atasnya ekoran tempoh 14 hari untuk berbuat demikian sudah berakhir.
Leave a Reply