SULTAN Johor, Sultan Ibrahim menitahkan supaya rakyat, ekonomi, kesejahteraan dan kemakmuran negara seharusnya perlu diutamakan.
Sehubungan itu baginda melahirkan kebimbangan berikutan desas-desus berkaitan kestabilan kerajaan yang terus kedengaran biarpun sudah enam bukan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) berlalu.
“Rakyat telah menaruh harapan tinggi dalam PRU15 lalu dan telah memberi undi mereka kepada 222 wakil rakyat untuk mengembalikan kestabilan politik negara.
“Namun sehingga kini, 222 Ahli Parlimen ini masih tidak dapat bersepakat sehingga ada gerakan yang cuba menggagalkan kestabilan yang sedang dibina.
“Keadaan sebegini adalah tidak sihat untuk semua lapisan negara kita baik dari segi sosial, ekonomi mahupun kedudukan kita di peringkat antarabangsa.
“Sudah-sudahlah. Sampai bila lebih 30 juta rakyat Malaysia hendak menanggung keadaan sebegini. Ekonomi perlu dipulihkan, kesejahteraan dan kemakmuran negara mesti diutamakan,” titah baginda melalui Facebook, hari ini.
Kestabilan politik negara kembali diperkatakan apabila hari iniAhli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Dr Muhammad Faiz Na’aman, dilaporkan memberi bayangan gerakan bagi menumbangkan Kerajaan Perpaduan bukan satu spekulasi, malah ia diketahui pimpinan tertinggi dalam kerajaan.
Berita Harian melaporBeliau dilaporkan turut menyifatkan angka ‘126’ yang dimuat naik dalam satu hantarannya di Facebook kelmarin sebagai signifikan sehingga mencetuskan kemarahan penyokong Kerajaan Perpaduan.
“Saya kira, angka ini signifikan hingga ramai ‘çyber troopers’ prokerajaan meroyan di laman Facebook saya.
“Saya fikir pihak sebelah sana (Kerajaan Perpaduan) pun tahu kebenarannya,” katanya .
Kelmarin, Dr Muhammad Faiz memuat naik catatan di Facebooknya dengan menulis “126 dah…jika benar Alhamdulillah”.
Hantaran itu menimbulkan persoalan dengan ada yang mengaitkan angka itu sebagai bilangan ahli Parlimen yang memberi sokongan kepada parti pembangkang.
Beliau bagaimanapun terus mengunci mulut sama ada angka berkenaan merujuk kepada jumlah kerusi membabitkan ahli Parlimen atau sebaliknya.
Leave a Reply