Sanusi tidak teruja pengumuman Anwar, RM1.6 bilion bukan peruntukan baru

Oleh BADLISHAH MAT

PENGUMUMAN peruntukan berjumlah RM1.6 bilion daripada Kerajaan Persekutuan yang diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada Kedah didakwa bukan melibatkan projek-projek baharu untuk dinikmati rakyat negeri itu.

Lantaran itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor secara terbuka memaklumkan kerajaan negeri tidak teruja dengan pengumuman yang dibuat Anwar ketika Majlis Rumah Terbuka Malaysia Madani yang turut dihadirinya pada Sabtu lalu.

Menurut beliau, pengumuman tersebut sebenarnya hanya melibatkan projek-projek pembangunan negeri Kedah yang sudah diumum dan diusahakan oleh kerajaan terdahulu.

“Saya difahamkan projek itu ada projek sambungan, ada projek Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) yang belum disiapkan dan disambung. Perkara rutin, bukan benda baharu dan kalau beliau bawa mai perkara baharu untuk RM1.6 bilion itu, kita pun nak tau (projek) apa?

“Saya taklah teruja sangat sebab semua benda sudah ada dalam jadual. Bila diumum semula bukan lah benda baharu. Kalau umum benda baharu saya nak dengar juga,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Mingguan Exco di Wisma Darul Aman, Alor Setar hari ini.

Bagaimanapun, Muhammad Sanusi menyambut baik kenyataan Anwar yang menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak akan menganak tirikan empat negeri pembangkang di bawah Perikatan Nasional (PN) termasuk Kedah.

Beliau berkata, perkara itu sebenarnya merupakan semangat Persekutuan yang harus dihargai kerana ia adalah amalan biasa yang dimeterai sejak pembentukan Malaysia pada tahun 1963.

“(Dalam hal ini ada dinyatakan) apakah yang kena diberikan oleh Kerajaan Persekutuan dan apakah yang menjadi bidang kuasa negeri. Saya sudah cakap lama, duduk dalam petak (bidang kuasa) masing-masing. Hanya dalam petak yang bersama kita duduk lah sekali.

“Saya tiada masalah sikit pun siapa jadi Kerajaan Persekutuan dan siapa kerajaan negeri. Kalau saling hormat bidang kuasa dan fungsi masing-masing tak akan ada apa-apa masalah, hormatlah sistem yang terbina di negara ini, masing-masing pakat terima pakai yang itu jalanlah seperti biasa.

“Tak perlu ada konsep baharu kalau (kerajaan negeri) sama (diberi layanan) istimewa dan kalau tak sama, tak istimewa. Itu semua di luar undang-undang, perkara yang ini tak patut dilayan kerana tak memberi nilai tambah kepada kemajuan negara ini,” tegasnya.

Sementara itu, mengulas kenyataan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi bahawa Kerajaan Perpaduan akan menyelesaikan isu kekurangan trip feri Pulau Langkawi jika mentadbir Kedah, Muhammad Sanusi berkata tanggungjawab berkaitan sistem pengangkutan air itu memang berada di bawah Kerajaan Persekutuan.

“Saya nak maklumkan bahawa perkhidmatan feri, jeti, lesen kereta api dan lapangan terbang 100 peratus di bawah Kementerian Pengangkutan dan Kerajaan Persekutuan. Tak perlu tukar kerajaan pun mereka kena buat benda itu. Saya tak tau dia tau ka tak tau (bahawa) itu memang petak (tugas) dia.

“Kalau saya nak pi buat petak (kerja-kerja) itu tak boleh, kerajaan negeri nak pi korek laut bagi dalam supaya feri boleh lalu banyak kali, tak boleh pasai petak (tanggungjawab) Kerajaan Persekutuan.

“Kerajaan negeri nak buat KXP tak boleh pasai kena kebenaran Kementerian Pengangkutan. Mai jual benda macam itu bila orang reti, tak lakulah (tak percaya) kedai itu dan kalau orang tak reti, lakulah (percaya),” katanya.

Dalam ucapannya, Ahmad Zahid berkata, ‘Kita tengok di Langkawi pula satu hari berapa (trip) feri (tinggal) sebab lumpur tak boleh korek. Insha-Allah siapa pun Menteri Besar Kedah yang baharu nanti, masalah feri Langkawi yang dulu 15 kali (trip) sehari kita akan korek lumpur dan kembalikan (trip sebanyak itu)’.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *