Oleh MOHD AZAM MOHD ATAN
APABILA menyentuh mengenai isu pengampunan bekas Perdana Menteri, Najib Razak maka isu ketara yang menjadi tumpuan ketika ini ialah bagaimana pergolakan melibatkan parti-parti gabungan dalam kerajaan perpaduan.
Memang tidak dapat diselindungkan lagi bahawa Pakatan Harapan (PH) yang dianggotai oleh DAP, PKR dan Amanah berdepan kesulitan dengan desakan UMNO yang mahu Najib segera dibebaskan daripada hukuman penjara 12 tahun setelah bersalah ke SRC International Sdn Bhd.
Mereka nampaknya tidak dapat menyembunyikan pergolakan sekiranya perjuangan untuk membebaskan Najib gagal, UMNO-BN mungkin boleh menarik sokongan hingga menyebabkan kerajaan perpaduan tidak kekal lama. Maka, tidak hairanlah parti Amanah yang dulunya lantang menghentam Najib apabila terpalit penyelewengan SRC dan 1MDB sanggup melupakan prinsip asal dan terpaksa bertindak pada tahap yang memalukan.
Buktinya apabila parti Amanah terpaksa memohon maaf secara terbuka kepada UMNO berhubung kenyataan pengarah komunikasinya, Khalid Samad selepas bekas Ahli Parlimen Shah Alam itu mengeluarkan kenyataan supaya Najib tidak diampunkan.
Pada mulanya pimpinan Amanah terpaksa mengatakan yang kenyataan Khalid itu bukan pendirian parti tetapi tidak lama selepas itu terpaksa pula meminta maaf dengan segera atas kenyataan berkenaan.
Bagi penulis, apa yang berlaku ini amat memalukan kerana satu dunia tahu sebelum ini bagaimana Amanah, DAP dan PKR dalam kempen politik mereka atau mana-mana kenyataan akan mengaitkan Najib dengan kleptokrasi. Dan tidak salah untuk berkata begitu kerana mahkamah juga telah membuat keputusan yang Najib bersalah!
Tapi mengapa apabila telah menjadi kerajaan dan berbaik dengan UMNO-BN, Amanah terpaksa meminta maaf apabila pemimpin kanan dalam parti mereka sendiri menyatakan kebenaran bahawa Najib tidak wajar diberikan pengampunan diraja.
Penulis tertanya-tanya juga kenapa sampai perlu meminta maaf sedangkan pemimpin veteran DAP pernah bersuara bahawa kerajaan perpaduan boleh runtuh jika Najib diberikan pengampunan diraja. Manakala pemimpin yang lantang dalam PKR, Hassan Karim juga pernah menyatakan bahawa kerajaan memerintah ketika ini akan berhadapan masalah besar jika Najib diberikan pengampunan diraja.
Terkini, bekas Ahli Parlimen DAP, Ong Kian Ming berkata bahawa pengampunan Najib adalah ‘red line’ kepada kompromi pemimpin dan akar umbi DAP ketika ini. Peringatan keras itu menunjukkan yang DAP tidak setuju pengampunan Najib tapi mereka tidak perlu meminta maaf seperti mana yang berlaku terhadap Amanah.
Atau mungkin, Amanah yang dulu senior dalam PH kini makin tenggelam dalam gabungan itu setelah PH bekerjasama dengan BN berikutan keberadaan parti itu sudah kurang penting kerana jumlah kerusi yang kecil.
Berdasarkan kiraan semasa keputusan PRU15, Amanah hanya memiliki 8 kerusi Parlimen, DAP paling banyak iaitu 40 kerusi, PKR (31) dan BN (30). Ternyata amat ketara perbezaan kerusi antara parti Amanah dengan gabungan lain yang jelas menunjukkan di mana kedudukan parti itu dalam kerajaan perpaduan.
Penulis difahamkan pada perbincangan pembahagian kerusi untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) dalam masa terdekat ini juga, Amanah akan menjadi parti yang paling terjejas daripada segi jumlah kerusi yang akan ditandingi kerana akan berlaku perebutan dengan UMNO-BN.
Tidak hairanlah pengaruh Amanah dalam kerajaan akan bertambah mengecil dan langkah terbaik pada pandangan penulis adalah dengan membubarkan parti dan menyertai UMNO atau PKR.
Lagipun dengan jumlah ahli yang tidak berapa ramai, mengapa perlu dikekalkan parti yang sudah tidak berapa relevan itu.
*Penulis adalah penganalisis politik dan ekonomi.
Leave a Reply