OPS Selamat 20 di Pulau Pinang sempena perayaan Aidilfitri tahun ini menunjukkan penurunan mendadak dengan jumlah kemalangan maut yang dicatatkan hanya tiga kes berbanding sembilan kes tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 67 peratus.
Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, secara keseluruhan pula, sebanyak 1,030 kes kemalangan direkodkan sepanjang operasi itu tahun ini berbanding 1,001 kes tahun lalu.
Selain itu, ujar beliau, penurunan mendadak turut direkodkan dari segi pengeluaran saman apabila hanya 4,570 saman dikeluarkan tahun ini berbanding 15,603 saman tahun lalu, iaitu penurunan sebanyak 71 peratus.
Dalam pada itu, tambahnya, polis Pulau Pinang akan melaksanakan tindakan penguatkuasaan trafik secara menyeluruh bagi membendung salah laku di jalan raya di negeri itu bermula kelmarin.
“Penguatkuasaan itu membabitkan semua undang-undang dan peraturan asas jalan raya yang sering diabaikan pengguna.
“Tiada lagi amaran kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan seperti sebelum ini memandangkan pihak polis telah memberikan kelonggaran kepada pengguna jalan raya.
“Tindakan saman akan terus dikenakan kepada pengguna jalan raya yang melakukan kesalahan,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas sesi ‘walkabout’ pencegahan jenayah di pasar awam Jelutong, Pulau Pinang hari ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shuhaily berkata, polis menjalankan lima fasa penguatkuasaan trafik bermula awal tahun ini bagi memberi kesedaran kepada orang ramai untuk lebih mematuhi undang-undang ketika berada di jalan raya.
Jelas beliau, program itu telah menunjukkan keberkesanan yang mana pengguna jalan raya lebih sedar mengenai peraturan di jalan raya.
“Sebelum ini ada yang tidak tahu mereka perlu berhenti sebelum berada di garisan putih pada lampu isyarat, sekarang ini kita dapati ramai yang sudah sedar mengenainya,” katanya.
Leave a Reply