Gerakan singkir Ketua Menteri P.Pinang:Kon Yeow tidak tahu siapa mereka

CHOW Kon Yeow mengakui tidak tahu terdapat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan negeri yang mahu menyingkirkan beliau sebagai Ketua Menteri selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang kerana tidak berpuas hati dengan corak pentadbirannya.

Pengerusi DAP Pulau Pinang itu berkata, tidak ada mana-mana ADUN kerajaan negeri yang pernah menyatakan atau menunjukkan rasa tidak puas hati mereka terhadap pentadbiran beliau sepanjang menjadi Ketua Menteri.

“Saya tidak tahu siapa mereka, mereka pun tidak pernah menyatakan rasa tidak senang mereka terhadap saya,” katanya dalam sidang akhbar di Georgetown hari ini.

Beliau mengulas laporan sebuah portal berita yang mendakwa kononnya terdapat desakan dari dalam DAP untuk menyekat beliau daripada kembali menjadi Ketua Menteri selepas PRN akan datang.

Malah, laporan itu mendakwa, gerakan tersebut dikatakan mahu Pengerusi DAP, Lim Guan Eng kembali menerajui kerajaan negeri dengan alasan Kon Yeow dilihat tidak berkesan sebagai Ketua Menteri.

Ditanya mengenai laporan portal berita itu yang mendakwa mengadakan pertemuan dengan tiga ADUN yang tidak berpuas hati berkenaan semalam, Kon Yeow yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Saya belum baca dan tidak tahu apa-apa yang dilaporkan dan berita ini adalah baharu kepada saya. Kalau saya tak baca tapi nak jawab, tak adil jugalah.

“Saya akan akan jawab, bukan hari ini, tetapi apabila sampai masanya,” katanya.

Ditanya lanjut mengenai sama ada Guan Eng masih berpeluang menjadi Ketua Menteri semula sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, pindaan negeri pada 2008 dengan jelas memasukkan dasar baharu yang mana seseorang itu tidak boleh dilantik sekiranya pada bila-bila masa pernah berkhidmat sebagai Ketua Menteri selama dua penggal.

“Pindaan itu dibawa ke sidang DUN dan diluluskan oleh kesemua ahli-ahli PH pada masa ia dipinda dan diundikan (pada 2018),” katanya.

Untuk rekod, Guan Eng yang juga ADUN Air Putih selama tiga penggal pernah menjadi Ketua Menteri selama dua penggal dari 2008 hingga 2018.

Berkenaan soalan jika beliau dilantik semula sebagai Ketua Menteri sekiranya menang pada PRN akan datang, Kon Yeow berkata, tumpuannya ketika ini adalah untuk memastikan kemenangan PH pada PRN terlebih dahulu.

Selepas menang katanya, baru boleh ambil tindakan seterusnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *