Tiga kru dipercayai terperangkap dalam kapal tangki yang masih terbakar

Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN

TIGA kru kapal yang hilang dalam kebakaran kapal tangki MT Pablo pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili, Kota Tinggi semalam masih lagi tidak dapat dikesan sehingga kini.

Pemangku Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, ini termasuk selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) diperluaskan kawasan pencarian kepada empat sektor di perairan berkenaan.

“Tiga kru kapal berkenaan dikenali sebagai Satyam Tripathi, 26, dan Dinesh Kumar Chauhan, 34, merupakan warganegara India manakala seorang lagi, warganegara Ukraine, Sabit Shenderovsky, 37.

“Kita tidak menolak kemungkinan, tiga kru kapal ini berada di dalam kapal. Bagaimanapun anggota operasi SAR masih tidak dapat masuk ke dalam kapal kerana asap kebakaran masih tebal.

“Setakat ini punca kebakaran masih dalam siasatan. Kebakaran melibatkan 50 peratus daripada keseluruhan kapal di mana bahagian tengah kapal paling teruk terjejas.

“Kapal tangki berkenaan dilaporkan masih dalam keadaan terapung. Ketika kejadian kapal tangki berkenaan kosong kerana dalam perjalanan ke Singapura untuk mengambil minyak mentah,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Johor di Johor Bahru hari ini.

Saiful Lizan berkata, seramai 136 pegawai dan anggota terbabit dalam operasi SAR sejak Isnin membabitkan sebuah pesawat udara AW139 milik Maritim Malaysia, sembilan aset laut termasuk dari Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Laut Malaysia dan Pelabuhan Johor.

“Pasukan Khas Bahan Kimia Berbahaya (Hazmat) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan tiba pada pagi Rabu bagi membantu operasi SAR. Kawasan pencarian oleh pasukan SAR telah dibahagikan kepada empat sektor dan diperluaskan sehingga 71 batu nautika persegi,” ujar beliau.

Setakat ini tiada tumpahan minyak berlaku katanya, namun pemantauan rapi giat dilakukan sebagai persiapan sekiranya berlaku tumpahan minyak kapal.

Kapal tangki yang berdaftar dari Gabon, Afrika dilaporkan dalam perjalanan dari China menuju ke Singapura bersama 28 kru kapal sebelum dilaporkan terbakar pada kedudukan 37.5 batu nautika timur laut Tanjung Sedili sekitar pukul 3 petang semalam.

Seramai 25 kru berjaya diselamatkan di mana empat daripada mereka mengalami kecederaan serius di tangan, pinggang dan kaki kini dirawat di Hospital Kota Tinggi.

Sementara itu, kapten kapal berkenaan Lepyoshkin Oleksandr dari Russia memberitahu, kejadian kebakaran kapal tangki itu berlaku secara tiba-tiba ketika dalam perjalanan ke Singapura bagi mengambil muatan minyak mentah di republik berkenaan.

“Berlaku letupan kuat seperti bom jatuh atas kapal sehingga tingkap kaca atas kapal pecah sebelum ia terbakar. Saya cuba membuat panggilan kecemasan namun peralatan di atas kapal semuanya sudah rosak dan terbakar.

“Kami bernasib baik kerana ada dua kapal berada berhampiran yang memberikan bantuan kecemasan segera termasuk membantu menyelamatkan kru kami yang sedang panik dan ketakutan,” jelasnya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *