TAN Sri Noh Omar hari ini menafikan, beliau akan menjadi calon Perikatan Nasional (PN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, tidak lama lagi.
Bekas Pengerusi Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, menjadi calon mana-mana parti hanya pimpinan parti tersebut sahaja akan tentukan siapa yang layak.
‘’Oleh kerana saya belum lagi menjadi ahli-ahli mana parti maka adalah tidak betul (untuk mengatakan) saya akan jadi calon, namun demikian semangat juang demi kepentingan orang Melayu dan kaum lain di Selangor yang diwarisi sejak jadi pemimpin UMNO suatu ketika dulu tak pernah padam,’’ katanya dalam kenyataan melalui klip video hari ini.
Pada 30 April lalu, Berita Harian melaporkan Noh berkata, sebagai individu yang “sebati” dengan politik, beliau enggan sekadar menjadi penonton.
Bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang itu menggambarkan dirinya seperti “pemain bola sepak” yang akan berpindah ke pasukan lain selepas disingkir pasukan asal.
Terdahulu, dilaporkan anak Noh, Nurul Syazwani akan bertanding merebut salah satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Parlimen Tanjong Karang atas tiket Bersatu.
Nurul menyertai Bersatu selepas bapanya dipecat awal tahun ini.
Leave a Reply