USTAZ Wadi Annuar mendakwa sesi beliau memberi keterangan di Pejabat Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs) hari ini gagal selepas penceramah bebas itu tidak dibenarkan hadir bersama peguamnya.
Beliau hadir di Pejabat JAIPs bagi memberi keterangan berhubung penyertaannya pada program Solat Tarawih dan Sembang Santai Bersama Ustaz Wadi Annuar di Markaz Tarbiyah PAS Kawasan Kangar, Kompleks Pendidikan MATIN, Kampung Abi, Padang Machang, pada 28 Mac lalu yang dikatakan dilaksanakan tanpa tauliah daripada Jabatan Mufti Negeri Perlis.
Berita Harian melaporkan, Ustaz Wadi yang ditemani dua peguamnya, Mohd Jamil Yaacob dan Mohamad Kamarulzaman Jusoh tiba sekitar jam 10 pagi sebelum dibenarkan memasuki pejabat JAIPs sekitar jam 10.30 namun sepanjang tempoh satu jam mereka berada di premis berkenaan, pelbagai kerenah birokrasi didakwa cuba ditimbulkan pegawai JAIPs menyebabkan mereka meninggalkan JAIPs.
Mohd Jamil yang mewakili Ustaz Wadi berkata, anak guamnya sudah pun memenuhi arahan untuk tampil ke Pejabat JAIPs hari ini seperti yang dijanjikan namun pelbagai hak termasuk mendapatkan peguam untuk ketika sesi temubual dinafikan JAIPs.
“Kami diberitahu ia adalah sesi temubual antara JAIPs dan anak guam saya, Ustaz Wadi dan mereka tidak membenarkan mana-mana pihak selain Ustaz Wadi untuk hadir bersama dalam sesi itu. Namun, semasa kami berada di situ, mereka (JAIPs) menyatakan pula sesi itu adalah sebagai sesi siasatan jadi kami tidak pasti sesi ini sebenarnya yang mana satu sama ada sesi siasatan, temubual, perjumpaan mesra atau sembang santai kerana kami tidak pasti.
“Apabila kami bertanyakan bahawa sesi yang dijalankan itu termaktub dalam Enakmen apa, pegawai JAIPs itu juga gagal memberitahu enakmen apa malahan kami pula ditanya mengapa kami hendak tahu mengenai itu (Enakmen) …ini tidak munasabah,” katanya hari ini.
Pada mulanya, mereka dibenarkan masuk namun Ustaz Wadi hanya boleh bawa seorang peguam sahaja untuk menemaninya.
“Ini juga adalah sesuatu perkara yang tidak munasabah kerana anak guam saya mahukan dua peguam yang dilantik mengiringinya jadi kami tidak nampak sebab mengapa kehadiran kami sebagai peguam perlu dihalang oleh JAIPs,’’ katanya.
Terdahulu, sekitar 80 hingga 90 orang penyokong Ustaz Wadi hadir di Pejabat JAIPs dan Kompleks Pendidikan MATIN sebagai solidariti dan sokongan terhadap pendakwah muda itu.
Sementara itu, Pengarah JAIPs, Ustaz Najmuddin Abdul Karim berkata tiada keperluan untuk peguam Ustaz Wadi Annuar berada bersama dalam sesi memberi keterangan penceramah berkenaan.
Sesi temubual berkenaan yang sepatutnya berlangsung bermula jam 10.30 pagi hari ini bagaimanapun gagal dijalankan kerana Ustaz Wadi Annuar dan peguamnya didakwa ‘menghilang diri’ selepas tiba di pejabat JAIPs sebelum itu.
“Kita (JAIPs) tidak dapat ambil keterangannya kerana dia ‘menghilang diri’ dan dipercayai sudah pulang ke Kompleks Pendidikan MATIN di Kangar. Memang kita hendak ambil keterangan Wadi tetapi kita hanya mahukan Wadi sahaja yang berada di premis kita dan tiada keperluan untuk peguamnya hadir sekali kerana ini bukannya perbicaraan mahkamah,” katanya ketika dihubungi akhbar itu
Katanya, kehadiran peguam pendakwah berkenaan ke dalam premis JAIPs juga diberikan atas budi bicara pegawai penyiasat JAIPs.
“…Kita di sini bukan nak soal siasat sangat dia tetapi lebih kepada hendak merekodkan keterangan dia berhubung kejadian tempoh hari dan mengapa perlu ada peguam bersama,” katanya.
Leave a Reply