Pertemuan sejarah PH-DAP setuju tiada pertembungan sesama sendiri di Pulau Pinang

DALAM pertemuan yang dianggap bersejarah, pemimpin Pakatan Harapan dan UMNO Pulau Pinang mencapai kata sepakat untuk memastikan tidak berlaku pertembungan sesama sendiri, dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.

Berita Harian melaporkan, persetujuan itu dicapai kedua-dua pihak dalam perbincangan semalam, yang memberi tumpuan kepada rundingan kerusi majoriti Melayu yang bakal ditandingi di Pulau Pinang.

Ketua Menteri merangkap Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata kedua-dua belah pihak mencapai kata sepakat supaya tidak menentang di antara satu sama lain dalam PRN kelak.

“Kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama kerana kita tidak mahu melihat pertandingan di antara kita dan tujuan kedua-dua belah pihak adalah untuk mencapai kemenangan besar untuk PH dan BN dalam PRN akan datang.

“Mesyuarat semalam kita fokus kepada kerusi majoriti Melayu sahaja…dikatakan ada 15 kerusi tetapi apa yang diminta pada peringkat rundingan dalaman ini kita masih belum sedia untuk umum,” katanya pada sidang media di Kompleks Tun Abdul Razak (KOMTAR) di Georgetown hari ini.

Kon Yeow berkata, susulan rundingan itu juga, empat kerusi yang dikosongkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu turut dianggap disandang oleh PH.

“Bagi PH, kita memang menegaskan prinsip yang ditetapkan oleh pimpinan pusat iaitu prinsip penyandang kekal bertanding kerusi sedia ada. Namun, kedua-dua pihak turut bersetuju melihat kriteria lain, selain daripada prinsip itu apabila berada dalam keadaan yang perlu berbuat demikian,” katanya.

Menurutnya, rundingan itu akan menjadi proses berterusan yang boleh dilanjutkan sehingga beberapa pusingan lagi, sehingga pengagihan semua kerusi dipersetujui kedua-dua belah pihak.

Kon Yeow menyifatkan sesi rundingan selama kira-kira sejam membabitkan enam wakil PH dan enam wakil UMNO tu adalah satu pertemuan bersejarah dan berlangsung dalam keadaan aman, selesa dan semangat yang baik.

“Jadi kita menyifatkan ini satu kejayaan tapi belum memuktamadkan kerusi dan kita bersetuju dengan prinsip serta sudah mendengar dan melihat sejauh mana permintaan masing-masing.

“Kita juga menegaskan bahawa kita tiada banyak masa jadi perbincangan secara dalaman boleh dilakukan secara kerap sebelum balik ke meja rundingan dalam masa terdekat,” katanya.

, UMNO diwakili Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Musa Sheikh Fadzir; Timbalan Pengerusi, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin; Setiausaha, Datuk Shah Headan Ayoob Hussain Shah; Bendahari, Datuk Jeffri Salim, Setiausaha Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang, Datuk Omar Faudzar dan Pengerusi Jabatan Pilihanraya UMNO, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Manakala PH pula diwakili Kon Yeow selaku Pengerusi PH negeri, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman mewakili Timbalan Pengerusi 1, Nurul Izzah Anwar; Timbalan Pengerusi 2, Datuk Dr Roslan Ahmad, Setiausaha, Lim Hui Ying; Bendahari, Goh Choon Aik dan Pengarah Komunikasi dan Penerangan, Dr Zaidi Zakaria.

Pulau Pinang mempunyai 40 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), PH memenangi 37 kerusi, termasuk kerusi-kerusi DUN daripada Bersatuy yang ketika itu masih menjadi sebahagian daripada PH.

BN pula hanya menang dua kerusi DUN iaitu Sungai Dua dan Permatang Berangan manakala Pas mempunyai satu kerusi iaitu Penaga.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *