KETUA Pegawai Eksekutif Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, percaya meningkatkan gaji pekerja adalah lebih progresif untuk menambah simpanan hari tua, berbanding menaikkan kadar caruman semata-mata.
Katanya, negara perlu berganjak kepada model gaji kehidupan wajar dalam tempoh terdekat untuk rakyat menjalani kehidupan yang berkualiti.
“Gaji itu bukan sahaja naik sendiri. Mungkin kita perlu ada inovasi yang menolong mengurangkan beban majikan. Kemungkinan majikan melabur dalam menggunakan automasi, kerana automasi itu ada, pekerjaan itu akan berganjak kepada pekerjaan yang lebih bernilai tinggi,” katanya lapor Buletin TV3.
Beliau berkata, automasi dapat mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dan menyalurkan lebihan tersebut kepada pekerja tempatan.
Amir Hamzah memberitahu, kajian KWSP mendedahkan, kumpulan bujang yang menetap di bandar dan menggunakan pengangkutan awam memerlukan sekurang-kurangnya RM2,000 untuk mencapai gaji kehidupan wajar.
‘’Dengan kadar gaji yang lebih baik mengikut lokaliti, penstrukturan semula gaji ini boleh memupuk orang ramai untuk membentuk tabungan yang sihat serta mempunyai simpanan persaraan yang mencukupi.. Namun, statistik menunjukkan hanya 30% pencarum mempunyai simpanan asas KWSP sebanyak RM240,000 untuk bersara,’’ katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, KWSP menggalakkan majikan untuk mencarum lebih daripada kadar statutori 12% hingga 13% secara sukarela.
Caruman yang lebih besar juga dapat menarik pekerja untuk berkhidmat dalam syarikat masing-masing. Kami menggalakkan majikan mencarum lebih daripada kadar statutori. Buat masa sekarang adalah secara sukarela, kami mendorong mereka dahulu. Namun, perkara asas yang kita kendak menangani ialah mempercepatkan perlaksanaan gaji kehidupan wajar,” katanya.
KWSP juga menggalakkan orang ramai menambah caruman pada bila-bila masa mengikut kemampuan mereka.
Tahun lalu, kerajaan bersetuju menaikkan had caruman sukarela KWSP kepada RM100,000 setahun berbanding RM60,000 sebelum ini.
Leave a Reply