SESI Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) tidak akan dilaksanakan sekiranya ada sekolah yang memohon penutupan sekolah untuk sementara waktu berikutan cuaca panas melampau.
Bagaimanapun, hari persekolahan mungkin diganti mengikut tarikh yang akan ditentukan oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri masing-masing.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan (Sektor Dasar dan Kurikulum), Kementerian Pendidikan (KPM), Dr Ahmad Rafee Che Kassim berkata, perkara itu terkandung dalam garis panduan yang sudah dikeluarkan Kementerian Pendidikan (KPM) sebelum ini.
“Apabila sekolah ditutup, kita akan lihat sejauh mana (situasinya). Kalau tempohnya panjang, kita akan lihat mekanisme (dilaksanakan) sebelum ini.
“Dalam garis panduan KPM juga dinyatakan, kalau sekolah tutup ia mungkin perlu diganti.
“Jadi pihak Pengarah Pendidikan Negeri akan maklumkan bila tarikh sesuai untuk ganti sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP). Disebabkan itu tidak ada PdPR,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pra Pelancaran Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2023 dan Sambutan Aidilfitri Industri Perbukuan di Kuala Lumpur, hari ini.
Hadir sama, Urus Setia Tetap Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM), Mohd. Khair Ngadiron.
Ahmad Rafee berkata, hari pertama persekolahan kembali dibuka hari ini, pihaknya belum menerima laporan daripada mana-mana sekolah mengenai masalah berkaitan cuaca panas.
Katanya, KPM juga tidak menetapkan jangka masa tertentu sekiranya sesebuah sekolah ditutup berikutan isu berkenaan.
Sebaliknya, beliau berkata, keputusan semasa dibuat mengikut keadaan cuaca semasa sebagaimana laporan harian dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia).
Katanya, KPM turut memberikan kelonggaran kepada warga sekolah termasuk pelajar dan guru untuk memakai t-shirt sukan setiap hari semasa sesi persekolahan.
“Bukan hanya pelajar yang boleh mengenakan t-shirt Pendidikan Jasmani (sukan), guru pun dibenarkan memakai t-shirt.
“Sebagai solidariti kepada warga pendidik, warga KPM akan turut memakai t-shirt esok,” katanya, lapor Harian Metro.
Berhubung mekanisme bagi penutupan sekolah, menurutnya, ia tertakluk kepada garis panduan yang telah dikeluarkan KPM iaitu suhu melebihi 37 darjah Celsius selama tiga hari berturut-turut.
“Pihak sekolah boleh memohon untuk penutupan sekolah kepada pihak pendaftar atau Pengarah Negeri (masing-masing). Pengarah Negeri akan keluarkan kelulusan serta merta berhubung perkara ini.
“Mekanismenya sudah ada, cuma syor KPM supaya semua pihak khususnya di sekolah untuk pantau kesihatan murid dan guru pastikan aktiviti di luar, dalam keadaan cuaca panas sebegini dielakkan. Buatlah aktiviti di dalam kelas.
“Selain itu, ibu bapa juga dinasihatkan supaya membekalkan air kepada anak-anak dan beri ingatan kepada mereka supaya minum air secukupnya,” katanya.
Sabtu lalu, satu garis panduan dikeluarkan KPM susulan situasi semasa cuaca panas di beberapa lokasi di seluruh negara ketika ini.
Menurut pekeliling itu, semua aktiviti luar perlu dihentikan jika status suhu harian bagi cuaca panas berada pada tahap amaran pertama dengan suhu tertinggi melebihi 35 hingga 37 darjah Celsius untuk tiga hari berturut-turut, manakala sekolah dibenar untuk ditutup sekiranya keadaan cuaca panas berada pada tahap amaran 2 dengan suhu tertinggi melebihi 37 darjah Celsius.
Leave a Reply