Wanita berdepan 10 tuduhan membunuh

SEORANG wanita rakyat Thailand yang didakwa melakukan beberapa pembunuhan menggunakan racun sianida, berdepan sekurang-kurangnya 10 pertuduhan pembunuhan terancang.

Timbalan komander Bahagian Pencegahan Jenayah, Kolonel Anek Taosupap, berkata polis melakukan siasatan terperinci terhadap wanita berusia 36 tahun itu.

Beliau berkata, siasatan mendapati mangsa mempunyai kaitan dengan suspek melalui skim pinjaman wang serta gadai janji kereta dan tanah.

“Ramai daripada mangsa memindahkan duit (berjumlah) lima hingga enam digit kepada suspek sebelum kematian mereka,” katanya.

Wanita dikenali Sararat Rangsiwuthaporn itu didakwa meracuni mangsa menggunakan sianida yang berlaku sejak 2020.

Sehingga kini, polis mengenal pasti 10 orang menjadi mangsa termasuk seorang wanita yang maut di Nakhon Pathom pada Disember 2020.

Turut menjadi mangsa dua anggota polis wanita dan dua orang guru yang meninggal dunia di Nakhon Pathom pada 2021 dan 2022.

Seorang wanita dari Kanchanaburi terselamat daripada cubaan membunuh menggunakan racun itu.

Terdahulu, ibu dan kakak kepada seorang daripada mangsa, mendiang Siriporn Khanwong dari Kanchanaburi memfailkan aduan yang membawa kepada penahanan Sararat pada 25 April lalu.

Pada 14 April, Siriporn menemani suspek untuk membuat amalan Buddha yang dikenali ‘merit-making’, sebelum mangsa ditemukan meninggal dunia di tebing sungai Mae Klong di Ban Pong di Ratchaburi.

Siasatan awal menunjukkan suspek mencampurkan sianida dalam makanan Siriporn dan ketika mayatnya ditemukan, telefon bimbit, wang tunai dan beg mangsa didapati hilang.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit, sianida ialah bahan kimia yang bertindak pantas yang mengganggu keupayaan tubuh untuk menggunakan oksigen dan menyebabkan serangan jantung serta berpotensi membawa maut.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *