Tembak rakan disangka kijang, lelaki direman 7 hari lagi

SEORANG lelaki yang menembak rakannya disangkakan seekor kijang menggunakan senapang buatan sendiri direman tujuh hari lagi.

Ketua Polis Jelebu, Maslan Udin berkata, suspek berusia 52 tahun yang direman enam hari hingga semalam itu, disambung reman hingga 7 Mei ini bagi membolehkan polis meneruskan siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

“Siasatan awal polis terhadap suspek yang mengakibatkan kematian mangsa berusia 61 tahun masih dijalankan,” katanya menurut Harian Metro.

Sebelum ini, media melaporkan suspek menembak rakannya yang disangkakan seekor kijang kira-kira 5 pagi 24 April lalu.

Suspek dilaporkan menyerah diri pada 10.30 malam hari sama di Balai Polis Titi sebelum menunjukkan lokasi kejadian dan mayat mangsa dibawa keluar dari kawasan hutan Muka Sauk, Jelebu kira-kira 2 pagi 25 April lalu.

Suspek mendakwa senapang itu buatan sendiri dan peluru yang digunakan untuk berburu milik si mati.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *