MAJLIS Datuk Dato’ Malaysia (MDDM) membuat laporan polis terhadap sembilan individu yang didapati menggunakan gelaran Dato, Datuk dan Tan Sri palsu.
Setiausaha Agung MDDM, Datuk Samson David Maman berkata, tindakan itu dibuat susulan pihaknya menerima beberapa aduan berhubung penggunaan gelaran palsu oleh sembilan individu berkenaan, baru-baru ini.
“Kami menerima banyak aduan berkaitan penggunaan gelaran palsu sejak Mei 2021 lagi selepas persatuan ini didaftarkan pada 4 Mei tahun sama.
“Namun, hari ini kami hanya fokus untuk membuat laporan polis terhadap aduan diterima berkaitan sembilan individu berkenaan kebelakangan ini.
“Saya tidak boleh dedahkan identiti sembilan individu ini. Apa yang saya boleh katakan adalah mereka terdiri daripada pelbagai latar belakang,” katanya ditemui di Balai Polis Puchong Jaya, Serdang, hari ini.
Turut hadir, Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong.
Samson berkata, individu yang menggunakan gelaran palsu itu tidak terhad dalam bidang perniagaan, malah membabitkan industri hiburan, sektor korporat dan personaliti pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya, mereka menggunakan gelaran palsu kerana itu adalah satu kebanggaan untuk dimiliki selain meningkatkan status dalam kalangan komuniti dan menjadikan golongan itu seolah-olah penting dalam masyarakat.
“Malah, kami ada mengenal pasti sebuah keluarga yang semuanya menggunakan gelaran Dato palsu serta wakil konsulat yang memiliki gelaran Dato mendakwa ditipu untuk mendapatkan gelaran Dato Sri,” katanya.
Sementara itu, Chong berkata, gelaran Dato, Datuk mahupun Tan Sri sah tidak boleh dibeli kerana ia hanya boleh dikurniakan oleh Sultan dan Tuan Yang Terutama negeri.
Orang ramai katanya, harus ingat bahawa jika mereka ditawarkan untuk membeli gelaran Dato, Datuk atau Tan Sri, adalah satu penipuan.
“Jika ada sebarang keraguan mengenai status gelaran seseorang, orang ramai boleh membuat semakan di laman rasmi, www.istiadat.gov.my,” katanya, lapor Berita Harian.
Leave a Reply