PENYANYI terkenal, Datuk Siti Nurhaliza menafikan membuat kenyataan berkenaan acara sambutan Aidilfitri di Kedah ‘seperti majlis politik’ seperti yang dilaporkan sebuah portal hiburan dua hari lalu.
Menerusi hantaran dalam Instagram miliknya semalam, penyanyi tersohor itu juga meminta portal tersebut agar tidak menyebarkan kenyataan tersebut.
“Saya tak pernah buat kenyataan ini,” katanya sambil menandakan laman Instagram portal tersebut dalam hantarannya.
Tindakan itu dipercayai merujuk kepada acara Himpunan Madani Kedah 2023 anjuran kerajaan persekutuan yang diadakan pada 28 April lalu, sehari sebelum Rumah Terbuka Aidilfitri Malaysia Madani yang juga di negeri itu.
“Siapalah yang pandai-pandai edit berita palsu ini, gunakan nama Facebook saya (yang verified) dan forward merata-rata dan buat orang yakin ia hantaran sebenar.
“Ini palsu. Cukup-cukuplah semua perkara nak dibuat macam ini (berita palsu). Saya ini penyanyi, hiburkan semua orang,” katanya lagi, lapor Malaysiakini.

Laporan itu antara lain memetik Siti sebagai berkata, beliau menerima undangan untuk memeriahkan majlis tetapi tidak menyangka ‘ia seperti majlis politik’.
Semakan mendapati laporan tersebut telah dipadam oleh portal hiburan itu.
Sementara itu, Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, laporan palsu itu telah tersebar dan menjadi bahan fitnah dalam pelbagai kelompok masyarakat.
“Malah ada yang percaya atau dijadikan bahan politik.
“Saya pohon rakan-rakan media untuk sentiasa mengesahkan maklumat dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini,” katanya di Twitter, sambil turut berkongsi tangkap layar penafian yang dibuat Siti.
Leave a Reply