Pertuduhan politik tidak selesai masalah integriti, politik wang-Pas

AHLI Jawatankuasa Pusat Pas, Dr. Mohd. Zuhdi Marzuki menyifatkan isu pengampunan Datuk Seri Najib Razak timbul kerana bekas Perdana Menteri itu terperangkap dalam kitaran pertuduhan politik.

“Najib berdepan pertuduhan politik yang bertujuan untuk membunuh karakternya dan itu berlarutan sehingga beliau memerlukan penyelesaian campur tangan politik menerusi permohonan pengampunan,” katanya dalam satu kenyataan dalam Facebook miliknya, hari ini.

Mohd. Zuhdi berkata, kitaran pertuduhan politik yang berlaku setiap kali kerajaan bertukar tidak akan dapat menyelesaikan isu integriti dan pembasmian rasuah dalam politik negara.

Beliau menggesa semua parti politik, khususnya yang sedang berkuasa, mencapai satu persetujuan bersama untuk berhenti membuat pertuduhan politik yang bermotif menumbangkan lawan secara membina persepsi tidak benar dan membunuh karakter seseorang.

“Pertuduhan politik tidak dapat menyelesaikan masalah integriti dalam berpolitik dan politik wang. Parti yang berkuasa akan berusaha mendakwa lawan politik mereka dengan mengerahkan agensi kerajaan yang mereka terajui, seperti yang dilakukan terhadap Bersatu sekarang.

“Persoalan sama ada tuduhan itu betul atau tidak bukanlah perkiraannya. Tetapi yang penting persepsi politik dapat dibina terhadap Bersatu dan Tan Sri Muhyiddin Yassin, untuk memastikan lawan politik kecundang.

“Sekiranya parti atau pimpinan politik yang dituduh berjaya pula menerajui kerajaan selepas itu, mereka pula akan membuat perkara sama terhadap lawan mereka.

“Jika pemimpin mereka didapati bersalah sebelum ini, jalan dicari untuk membebaskan seperti yang dilakukan oleh Pakatan Harapan (PH) pada 2018 dengan mengusahakan pengampunan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menarik balik kes banglo Lim Guan Eng.

“Sebenarnya, kitaran inilah yang dihadapi oleh Najib sekarang. Pertuduhan politik yang akhirnya memerlukan penyelesaian campur tangan politik,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan bekas Ahli Majlis Syura Ulama Pas, Zaharudin Muhammad dalam rakaman video dikongsi dalam laman Facebook Najib Razak, bahawa langkah pengampunan diraja untuk bekas Perdana Menteri itu lebih baik berbanding mengekalkannya dalam penjara sehingga tempoh hukuman berakhir.

Yang Dipertua PaS Subang itu antara lain dilapor berkata, yang lebih dekat dengan keadilan dan Islam apabila tersalah melepaskan orang bersalah, yang lebih baik berbanding tersalah menghukum orang yang tidak bersalah.

Najib kini menjalani hukuman penjara 12 tahun selepas rayuan terakhirnya terhadap sabitan bersalah kes SRC International ditolak Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos lalu.

Mengulas lanjut, Mohd. Zuhdi berpandangan kes SRC itu bukan satu-satunya pertuduhan politik yang berlaku, sebaliknya ia turut membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang turut dihadapi Najib, selain kes Yayasan Akal Budi membabitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; dana Jana Wibawa membabitkan Muhyiddin; Pandora Paper dan seumpamanya.

Katanya, semua kes itu mungkin boleh disabitkan di mahkamah, namun tidak menafikan motif awal pendakwaan pertuduhan politik, bertujuan menumbangkan lawan politik yang turut dihukum secara maya sebelum mahkamah membuat keputusan.

“Seandainya Najib tidak didapati bersalah dalam kes SRC sebelum ini, saya yakin akan ada tanggapan mahkamah di Malaysia tidak boleh dipercayai dan seumpamanya.

“Dalam mengemuka saranan ini, saya sama sekali tidak berkompromi dengan persoalan integriti dan pembasmian rasuah, namun usaha untuk mendukung integriti dan membasmi rasuah tidak dapat dilunaskan dengan pendakwaan politik.

“Ia dapat dilunaskan melalui agenda yang bersifat mencegah seperti menggubal Akta Kawalan Dana Politik, mekanisme pengisytiharan harta anggota pentadbiran yang tepat, membebaskan agensi penguatkuasaan serta sistem perundangan daripada cengkaman eksekutif, mewujudkan institusi hisbah/mazalim dan lain-lain,” katanya, lapor Berita Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *