Perbalahan pemimpin UMNO-komponen PH gugat Kerajaan Perpaduan

PERBALAHAN antara pemimpin UMNO dan parti sekutunya dalam Pakatan Harapan (PH), boleh menggugat kedudukan Kerajaan Perpaduan ketika ini sekrianya dibiarkan berterusan.

‘Perang mulut’ terbaru adalah berkait isu pengampunan untuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Penganalisis politik dari Universiti Sunway, Prof Dr. Wong Chin Huat, isu pengampunan Najib mempunyai impak besar kepada kedaulatan undang-undang, kestabilan politik, ekonomi dan imej Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus semua pihak berhak memberi pandangan.

“Semua rakyat adalah pemegang taruh dan berhak untuk memberi pandangan, sama ada yang menyokong atau membantah. UMNO tiada hak dan kuasa memberi perintah kepada mana-mana pihak, termasuk rakan dalam kerajaan untuk berdiam atas isu itu,” katanya.

Kelmarin, pemimpin UMNO Kelantan mendesak Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (AMANAH), Khalid Abdul Samad memohon maaf.

Ini susulan kenyataan Khalid akan merayu Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan Najib untuk diampun dan dibebaskan dari penjara.

Kata dua itu disampaikan Ketua Penerangan UMNO Kelantan, Datuk Zawawi Othman bersama amaran bahawa pihaknya akan menarik balik kerjasama antara parti dalam Kerajaan Perpaduan di negeri itu, jika Khalid enggan memohon maaf.

Selain itu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr. Mohd. Puad Zarkashi menyifatkan AMANAH sebagai ‘kawan makan kawan’ dan perkembangan itu dilihat mampu mengheret perbalahan panjang antara dua parti terbabit andai berterusan.

Sebelum ini, ada pemimpin UMNO turut bertelagah dengan pimpinan DAP susulan kenyataan berkait isu sama yang dilontarkan Lim Kit Siang, selain isu ‘kahwin paksa’ dibangkitkan bekas Perdana Menteri yang juga bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ismail Sabri mendakwa ‘kahwin paksa’ di antara UMNO dan DAP tidak akan berjaya di peringkat pimpinan tertinggi atau akar umbi, sambil menambah bahawa beliau sudah mula melihat keretakan selepas wujud serangan terbuka di antara pemimpin parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Mengulas lanjut, Chin Huat berkata, ancaman UMNO Kelantan jika kata dua itu menjadi kenyataan, akan merugikan parti itu sendiri kerana di Kelantan dan Terengganu, UMNO adalah pencabar utama Pas dan Perikatan Nasional (PN), bukannya PH atau AMANAH.

“UMNO yang ada peluang terbesar untuk kalahkan PAS dan PN. Oleh itu, UMNO perlukan segala sokongan yang ada. UMNO akan gadai peluang sendiri, mungkin hilang lebih banyak kerusi kalau ingin bergaduh dengan AMANAH atau parti lain (dalam PH),” katanya.

Penyokong BN pekik ‘pakatan hancing’ manakala penyokong PH jerit ‘hancur BN’ semasa kedua-dua pihak itu bergaduh di pusat pengundian SJKC Chung Hua, Rantau, pada 2019 dan keadaan tegang selama 10 minit

Chin Huat bagaimanapun yakin Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan membenarkan perbalahan itu berlarutan sehingga menggugat kestabilan kerajaan campuran diterajuinya.

“Saya percaya percanggahan ini akan berakhir kerana semakin banyak isu pengampunan Najib dibincang, semakin senang untuk PN mendefinisikan Pilihan Raya Negeri (PRN) nanti sebagai ‘pungutan suara’ untuk menentang rasuah UMNO.

“Ia seperti slogan ‘Bersih dan Stabil’ yang digunakan (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Bagi orang UMNO pula, rata-rata pandai dan boleh melihat kemudaratan jika cari gaduh.

“Kalau seperti yang dikatakan bahawa keputusan mengampun atau tidak (Najib) terletak pada Yang di-Pertuan Agong, apa kesannya jika ada orang lain mahu bantah atau sokong,” soalnya.

Penganalisis politik dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr. Ahmad Marthada Mohamed pula melihat perbalahan antara pemimpin parti dalam PH berkait isu pengampunan Najib sekadar komen sampingan.

“Ini kerana baik di peringkat kerajaan pusat atau UMNO sendiri, masing-masing sudah membuat pendirian yang jelas, Perdana Menteri pun sudah komen. Apa juga komen lain dari mana-mana pemimpin tidak melambangkan kenyataan rasmi parti.

“Yang lebih utama adalah MKT (Majlis Kerja Tertinggi) UMNO juga sudah membuat ketetapan berkaitan isu ini dan Perdana Menteri juga sudah buat kenyataan, sudah jelas pandangan masing-masing,” katanya.

Katanya, pandangan daripada pihak kerajaan sebelum ini adalah berkaitan peranan Perdana Menteri dalam Lembaga Pengampunan, manakala pandangan UMNO pula menerusi keputusan MKT adalah memohon ihsan dan pertimbangan terhadap permohonan pengampunan itu.

Justeru, Ahmad Martadha berkata, kedua-dua pandangan itu sudah memberi gambaran jelas kepada masyarakat berkait pendirian Kerajaan Perpaduan dan parti dalam kerajaan berkait isu pengampunan Najib.

“Jadi, mana-mana kenyataan, sama ada dari UMNO Kelantan, AMANAH dan (Datuk Dr. Mohd.) Puad Zarkashi, saya lihat lebih kepada komen sampingan, setakat masing-masing mahu menyuarakan pandangan saja.

“Ia juga dijangka tak beri kesan kepada PRN sebab isu pengampunan tidaklah sangat berkait dengan isu yang dekat dengan masyarakat,” katanya menambah, Lembaga Pengampunan juga mengeluarkan kenyataan yang sangat jelas, iaitu kes Najib masih belum dibawa kepadanya.

“Ini kerana di pihak Lembaga Pengampunan sendiri, mereka membawa dan membincangkan sesuatu isu berdasarkan aturan permohonan. Sudah tentulah permohonan terdahulu akan diberi keutamaan berbanding permohonan yang kemudian,” katanya, lapor Berita Harian.

Jumaat lalu, petisyen pengampunan terhadap Najib tidak dibentang oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri selaku urus setia Lembaga Pengampunan yang bersidang pada hari berkenaan.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *