Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
LEMBAGA Pengampunan bagi Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya yang bersidang pada Jumaat lalu di Istana Negara tidak membincangan kertas rayuan pengampunan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.
Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri merangkap setiausaha lembaga pengampuan itu, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud memaklumkan, kertas rayuan pengampunan Mohd. Najib tidak dapat dibawa pada mesyuarat tersebut.
“Kertas berkenaan akan dipertimbangkan pada masa yang sesuai mengikut perundangan dan peraturan-peraturan yang terpakai.
“Semasa persidangan tersebut hanya mempertimbangkan sebanyak 10 kes rayuan pengampunan di bawah Peraturan 54 dan Peraturan 113 Akta Penjara 2000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, mengikut Perkara 42, Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan yang telah dibicarakan oleh mahkamah tentera dan segala kesalahan yang dilakukan dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.
“Raja atau Yang di-Pertua Negeri sesuatu negeri pula berkuasa memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum berkenaan dengan segala kesalahan lain yang dilakukan di dalam negeri-negeri tersebut,” katanya.
Media sebelum ini melaporkan Najib kini sedang menjalani hukuman 12 tahun penjara selepas didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn. Bhd.
Susulan itu, beliau pada September tahun lalu telah memfailkan permohonan pengampunan diraja setelah Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022 mengekalkan sabitan dan hukuman penjara serta denda RM210 juta setelah didapati bersalah menyeleweng dana tersebut.
Pada 31 Mac lalu, bekas Ahli Parlimen Pekan itu gagal dalam permohonannya untuk menyemak sabitan dan hukuman tersebut.
Leave a Reply