SEORANG buruh kontrak warga Vietnam maut selepas dipercayai terjatuh dari tingkat tiga ketika melakukan kerja pengubahsuaian rumah kedai di Jalan Bunga Raya, di Melaka, tengah hari semalam.
Kejadian tersebut dimaklumkan kepada pihak polis daripada orang awam pada pukul 12.41 tengah hari berkenaan seorang lelaki ditemukan tidak sedarkan diri di lantai rumah kedai tiga tingkat.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, anggota dari Balai Polis Melaka Tengah diketuai Asisten Superintendan Azizi Abdul Rahman bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan.
“Sebaik tiba di tempat kejadian, pasukan mendapati lelaki Vietnam tidak sedarkan diri terbaring di atas lantai tingkat bawah dengan memakai seluar jeans hitam serta tidak berbaju.
“Pegawai perubatan dari Hospital Melaka yang melakukan pemeriksaan kemudiannya mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia,” katanya dihubungi di Melaka.
Christopher berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa, Nguyen Van Ty, 52, dipercayai terjatuh dari tingkat tiga berikutan kesan pecah pada bumbung sengkuap.
Beliau berkata, hasil pemerhatian oleh Ketua Balai Polis Melaka Tengah bersama pegawai penyiasat ke atas tubuh mangsa tidak mengesan sebarang perbuatan jenayah.
“Soal siasat awal terhadap saksi yang juga sub kontraktor memaklumkan dia datang ke tempat kejadian untuk meninjau kerja-kerja pengubahsuaian dibuat mangsa membabitkan tingkat tiga saja sekitar pukul 10.30 pagi.
“Setibanya di tempat kejadian saksi mendapati mangsa terbaring di lantai tingkat bawah sebelum menghubungi pihak ambulans dan polis untuk bantuan.
“Saksi juga mengatakan baru mengenali mangsa sejak tiga hari lalu,” katanya, lapor Harian Metro.
Beliau berkata, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut dan mayat dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat bagi mengetahui sebab kematiannya.
Leave a Reply