Adakah PH serius hadapi PRN di Terengganu, Amanah dibiarkan sendirian lagi?

SEORANG ahli Parti Amanah Negara (Amanah) mempersoalkan komitmen Pakatan Harapan (PH) menentang Perikatan Nasional (PN) di Terengganu yang diterajui Pas.

Ahli parti yang enggan dinamakan itu berkata, akar umbi Amanah Terengganu kecewa dengan kurangnya sokongan kewangan diterima daripada kepimpinan pusat menjelang PRN akan datang.

“Amanah akan berada di barisan depan untuk menghentikan ‘gelombang hijau’ PN di kubu kuat mereka.

“Kita sekurang-kurangnya perlu diberikan sokongan dan kewangan mencukupi untuk bersaing secara munasabah di Terengganu, walaupun Kedah menjadi tumpuan,” kata sumber berkenaan memetik laporan FMT, hari ini.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung PKR, DatuK Seri Saifuddin Nasution Ismail menggesa PH menumpukan usahanya untuk memenangi kuasa di Kedah, bukannya di Kelantan dan Terengganu, di mana PN mempunyai pengaruh lebih kuat.

Pada PRU lalu, Amanah tewas di semua tiga kerusi Parlimen dan 11 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandinginya di Terengganu.

Sumber itu mendakwa Amanah Terengganu menerima ‘bantuan logistik dan kewangan sangat sedikit’ pada PRU, walaupun parti itu dilihat sebagai alternatif PH kepada Pas.

“Adakah Amanah Terengganu akan menghadapi senario sama sekali lagi, dibiarkan bersendirian, yang boleh menyebabkan ia disembelih Pas pada PRN akan datang,” sosal sumber itu.

Sumber itu percaya keputusan pilihan raya Terengganu adalah ‘kesimpulan tidak dijangka’.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad ketika dihubungi menafikan kurang sokongan untuk Terengganu.

“Jelas sekali kami tidak mempunyai dana yang diminta sesetengah pihak, jadi kami beri apa yang kami mampu. (Ini) tidak bermakna kami tidak sediakan sebarang sokongan,” katanya.

Katanya, jika sokongan diukur melalui pembiayaan, maka parti itu akan gagal memenuhinya, tetapi komitmen itu ada.

Khalid memetik pelantikannya pada Februari lalu sebagai pengerusi sementara Amanah Kelantan selama enam bulan, manakala Timbalan Presiden Amanah, Datuk Seri Salahuddin Ayub dan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Sabu pula ditugaskan mengetuai Terengganu serta Kedah dalam PRN.

Sumber itu mendakwa kepimpinan tertinggi Amanah Kelantan belum mengisi kekosongan yang ditinggalkan Datuk Husam Musa susulan peletakan jawatannya sebagai naib presiden parti dan pengerusi PH Kelantan pada 2020.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *