GELOMBANG pertama operasi pembenihan awan dengan bantuan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Empangan Teluk Bahang dan Empangan Air Itam, Pulau Pinang dijadualkan pada awal bulan depan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Ir. K. Pathmanathan berkata, penjadualan semula operasi pembenihan awan itu berdasarkan cadangan oleh METMalaysia.
Jelasnya, penjadualan semula itu adalah untuk memaksimumkan potensi hujan lebat dengan menjalankan operasi pembenihan awan hanya apabila keadaan cuaca optimum (apabila awan hujan besar diramalkan hadir pada ketinggian yang betul).
“Operasi dijadualkan semula berdasarkan keadaan cuaca, dan kawasan sasaran operasi ialah empangan Air Itam dan empangan Teluk Bahang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, PBAPP memaklumkan operasi pembenihan awan itu dijangka dilaksanakan bermula semalam hingga 7 Mei ini bagi membantu mencetuskan hujan di kawasan tersebut.
Menurut Pathmanathan, pesawat TUDM yang menjalankan operasi pembenihan awan pada Mei depan akan berlepas dari Pangkalan Udara TUDM Subang di Selangor.
Katanya, seorang jurutera PBAPP turut ditugaskan untuk berada di dalam pesawat untuk menyaksikan setiap misi di Pulau Pinang.
”PBAPP juga akan memantau hasil operasi pembenihan awan dengan merekodkan hujan di kawasan tadahan air yang disasarkan dan kapasiti efektif Empangan Air Itam dan Empangan Teluk Bahang selepas operasi selesai.
”Bergantung kepada hasilnya, kerajaan negeri Pulau Pinang dan PBAPP mungkin memohon lebih banyak operasi pembenihan awan sepanjang tahun ini,” katanya.
Dalam pada itu, ujar beliau, setakat 29 April lalu, kapasiti empangan Air Itam merekodkan paras 43.6 peratus manakala empangan Teluk Bahang pula berada pada paras 49.1 peratus.
Jelasnya, kapasiti efektif kedua-dua empangan ini telah berkurangan kerana kekurangan taburan hujan di kawasan tadahan air yang berkaitan.
”Musim kemarau yang berpanjangan (yang berkaitan dengan perubahan iklim) dan permintaan air yang tinggi di Pulau Pinang sejak awal Januari adalah punca utama fenomena ini,” katanya.
Jelasnya, empangan-empangan berkenaan perlu diisi semula dengan air sebanyak mungkin bagi mengelak krisis bekalan air yang berpotensi berlaku di Pulau Pinang sebelum musim hujan akan datang.
Leave a Reply