PEMANDU kenderaan pelbagai guna (MPV) yang pengsan bersama tiga lagi penumpang memaklumkan dia terhidu bau petrol yang kuat di dalam kenderaan itu, selepas melepasi Plaza Tol Karak, Pahang.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Nor Wahid berkata, semua kenderaan bergerak perlahan kira-kira tiga kilometer selepas plaza tol berkenaan dan beliau membuka tingkap sekejap kerana tidak selesa dengan bau berkenaan dalam kejadian Selasa lalu.
“Ada bau petrol yang kuat dalam kenderaan. Cuaca ketika itu amat panas dan kereta bergerak perlahan. Jadi, saya buka tingkap sebelah pemandu.
“Saya tutup semula tingkap beberapa minit selepas itu apabila trafik kembali lancar,” katanya menurut laporan Harian Metro.
Mengulas lanjut Nor Wahid berkata, ketika menghampiri Plaza Tol Bentong, Nor Wahid berkata, bau petrol semakin kuat dan aliran semua kenderaan amat perlahan.
“Ketika menghampiri Plaza Tol Bentong, saya buka tingkap tapi suhu luar sangat panas. Tiba-tiba, saya rasa tak selesa dan tak bermaya. Saya bertanya isteri sama ada boleh pandu kereta selepas tol, tapi tiada balasan.
“Saya lihat isteri seperti sedang tidur nyenyak, manakala anak perempuan dan anak saudara juga tidur. Saya sangka mereka terlalu penat, namun tiba-tiba saya tak dapat fokus memandu kerana pandangan makin kabur, pendengaran kurang dan rasa lemah, saya pengsan.
“Tiba-tiba saya rasa ada orang tekan dada, tepuk pipi saya dan beritahu jangan tidur. Saya seperti bingung ketika itu, sebelum mula sedar selepas doktor beri oksigen di hospital dan semua ahli keluarga juga tersedar,” katanya.
Lelaki berusia 52 tahun itu bersama tiga ahli keluarga ditemukan pengsan selepas MPV keluaran tempatan itu merempuh paip air di Plaza Tol Bentong.
Nor Wahid berkata, mereka sekeluarga dibenarkan keluar dari hospital pada pukul 10 malam hari sama selepas tekanan darah stabil.
Menceritakan semula kejadian kepada New Straits Times (NST), bapa kepada lima anak berkenaan memaklumkan, beliau memulakan perjalanan dari Kuala Terengganu kira-kira 8 pagi selepas bermalam di rumah abangnya.
“Kami bergerak menggunakan dua kereta, dan anak sulung Shafiq memandu sebuah lagi kereta. Kami ada berhenti seketika selama sejam di kawasan rehat dan rawat (R&R) Perasing di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2), tetapi saya tidak matikan enjin.
“Isteri saya kemudian mengambil giliran memandu sebelum berhenti di Gambang, namun terlalu banyak kereta. Walaupun R&R Temerloh juga penuh, kami berhenti juga untuk mengisi minyak. Ketika itu masih tiada masalah dengan penyaman udara.
“Keadaan penyaman udara kenderaan baik dan tiada isu. Saya memandu pulang ke Balakong, keesokannya dan bau petrol sudah tiada.
“Saya sudah buat pemeriksaan pada penyaman udara beberapa hari sebelum itu dan tiada tanda-tanda berlaku kebocoran karbon monoksida.
“Saya baru servis pendingin hawa, selain menukar kompresor pada Disember lalu. Jadi kejadian pengsan tiada kaitan dengan masalah pendingin hawa,” katanya sambil memaklumkan MPV itu sudah berusia 10 tahun.
Sementara itu, Nor Wahid berkata, anak sulungnya mungkin menyangka kejadian terbabit berlaku disebabkan masalah pendingin hawa MPV berkenaan ketika mengemas kini akaun Facebook.
Menurutnya, anaknya cuba menghubunginya beberapa kali sebaik dia tiba di Plaza Tol Gombak, sebelum kembali ke Bentong sebaik mengetahui kejadian berkenaan.
“Dia (Syafiq) mungkin bertanya rakan mekaniknya sebelum percaya ia mungkin akibat masalah kerosakan pendingin hawa.
“Bagaimanapun, saya amat bersyukur apabila diberi peluang hidup ‘kedua’ dan hanya nombor plat hadapan sahaja yang rosak.
“Saya berterima kasih kepada anggota polis, kakitangan plaza tol, anggota perubatan dan orang ramai yang membantu. Hanya Tuhan sahaja mampu membalas jasa anda,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar dipetik berkata, siasatan mendapati tiada unsur jenayah atau kecuaian dalam kemalangan terbabit.
Portal berita Harian Metro sebelum ini melaporkan empat sekeluarga pengsan dalam kenderaan yang dinaiki dipercayai kekurangan oksigen di dalam badan ketika perjalanan sebelum merempuh Plaza Tol Bentong.
Kejadian berlaku 2.40 petang ketika semua mangsa dalam perjalanan dari Tok Bali, Kelantan menuju ke Balakong di Selangor.
Kenderaan dipandu mangsa melanggar pintu plaza tol berkenaan sebelum pegawai dan anggota polis yang menjalankan tugas rondaan Op Selamat 2023 di Lebuh Raya Kuala Lumpur-Karak memberi bantuan awal.
Leave a Reply