Oleh RIZQI ZABIDI
SEORANG wanita maut di depan rumahnya setelah dilanggar suami sendiri, dipercaya secara tidak sengaja di Taman Selasih, Kulim, Kedah, semalam.
Ketua Polis Daerah Kulim, Superintenden Mohd. Redzuan Salleh berkata, kejadian kira-kira pukul 7 petang itu mengakibatkan mangsa yang berusia 59 tahun maut di lokasi kejadian.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa keluar dari keretanya untuk mengambil barang yang tertinggal dalam rumah.
“Ketika itu suami mangsa berusia 60-an yang sedang mengundur tertekan pedal minyak lalu terlanggar isterinya yang berada di tepi sebelah kiri kenderaan tersebut.
“Kenderaan tersebut kemudiannya turut melanggar sebuah kereta yang diletakkan berhampiran rumah tersebut,” katanya.
Tambahnya, mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Mayat mangsa dihantar ke jabatan forensik Hspital Kulim untuk dibedah siasat.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jala 1987,” katanya.
Leave a Reply