“Saya belum pencen, akan pilih parti berhaluan baik,” kata Annuar Musa

BEKAS Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menafikan beliau sudah bersara dalam arena politik sebaliknya akan lebih aktif selepas ini.

Presiden Muafakat Nasional itu bagaimanapun berahsia mengenai parti politik yang akan disertainya selain mendakwa akan memilih parti yang ‘berhaluan baik’.

“Saya belum pencen, tak timbul isu kembali aktif cuma saya dibuang dari UMNO sahaja.

“Saya aktif cuma dua tiga bulan sebelum ini dan selepas itu ambil peluang untuk tumpukan kepada hal peribadi, ibadat, hal diri sendiri dan tidak banyak bercakap hal parti tapi saya tak ‘retired’ (bersara).

“Insya Allah selepas ini akan lebih aktif dan akan berhaluan ke arah yang lebih baik… tengok sehari dua lagi kerana kita masih dalam suasana raya jadi kalau boleh politik kita kurangkan sikit,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau ditemui pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Pas Kelantan, di Kota Bharu, hari ini.

Dalam pada itu, kehadiran Annuar disambut Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob sehingga mencuri tumpuan tetamu dan orang ramai yang mengambil peluang untuk beramah mesra serta merakam gambar kenangan.

Annuar bagaimanapun menyifatkan kehadirannya pada majlis itu adalah atas dasar sahabat sejak dalam Kerajaan Persekutuan terdahulu dan menjelaskan ini bukan kali pertama beliau menghadiri majlis yang sama di kediaman beberapa pemimpin lain.

Sementara itu, pada soalan mengenai Rumah Terbuka Malaysia Madani Bersama Perdana Menteri yang akan diadakan di negeri itu pada 12 Mei, beliau berkata, setakat ini belum menerima sebarang jemputan.

“Alhamdulillah sejak dalam kerajaan (persekutuan) sebelum ini memang kita semua bersahabat jadi musim raya kali ini dapat bersama-sama.

“Sudah banyak kali saya hadir majlis raya Pas, tahun lalu di (parlimen) Pengkalan Chepa, saya hadir semua termasuk rumah Ahli Parlimen Bersatu Ketereh (Datuk Khlir Mohd Nor) semalam.

“Setakat ini belum terima jemputan (Rumah Terbuka Malaysia Madani) tapi kalau ada jemputan dan berkelapangan, tiada masalah (untuk hadir),” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *