Rumah Terbuka Malaysia Madani bukan satu kebetulan – Bersih

PEMANTAU pilihan raya, Bersih menegaskan, pembangkang mempunyai asas apabila mendakwa penganjuran Rumah Terbuka Malaysia Madani mempunyai elemen pembaziran dan bermotifkan politik.

Pengerusinya, Thomas Fann berkata, memandangkan sumber persekutuan akan digunakan untuk menganjurkan perhimpunan mega itu dengan pilihan raya negeri (PRN) semakin hampir tuduhan dilemparkan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim bukanlah tanpa merit.

Sehubungan itu Bersih meminta undang-undang penggunaan sumber kerajaan diperketatkan ekoran kontroversi penganjuran rumah terbuka itu yang didakwa berunsur politik.

“Penganjuran majlis rumah terbuka raya di enam negeri yang akan mengadakan pilihan raya negeri dalam beberapa bulan lagi bukan satu kebetulan,” kata Thomas kepada portal FMT.

Rumah terbuka di Kedah diadakan pada 29 April disusuli Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Terengganu (13 Mei), Selangor (14 Mei) dan Kelantan (21 Mei). Enam negeri itu akan mengadakan PRN selepas Jun ini.

Fann bagaimanapun menambah penyalahgunaan sumber kerajaan biasa didengari dan pembangkang “yang kini merungut” juga terpalit dakwaan itu ketika berkuasa.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor antara yang lantang mengkritik berkata majlis rumah terbuka kerajaan persekutuan itu sebagai kempen pilihan raya tidak wajar diadakan, dan bertentangan dengan pendirian berjimat-cermat Putrajaya. Timbalan Setiausaha Perikatan Nasional Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula dilaporkan berkata rumah terbuka di enam negeri itu bermotifkan politik.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli mendakwa kos menganjurkan rumah terbuka di enam negeri itu lebih murah berbanding menganjurkan jamuan Aidilfitri di Putrajaya kerana kehadiran yang lebih rendah dan tanggungan.

Menurutnya, Putrajaya hanya menanggung belanja sepenuhnya bagi jamuan di Kedah, Kelantan, dan Terengganu yang ditadbir PAS, manakala rumah terbuka di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan dikendalikan dan dibayar oleh kerajaan negeri.

Mengulas lanjut Thomas berkata tiba masanya amalan penyalahgunaan sumber kerajaan untuk menganjurkan aktiviti menjurus kepada kempen politik dihentikan segera.

“Perlu ada undang-undang lebih jelas serta ketat bagi menghentikan penyalahgunaan sumber negara untuk berkempen.  Pembangkang harus mengemukakan saranan untuk menghentikan amalan tersebut jika mereka benar-benar tidak berpuas hati dengan tindakan Perdana Menteri,’’  katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *