Lelaki kudung tangan kiri tekad jalan kaki ke Mekah

SEORANG lelaki yang kudung tangan kirinya berazam berjalan kaki secara solo ke Mekah dengan mengharungi perjalanan sejauh 10,161 kilometer (km) dari Bidor ke tanah suci, Isnin lalu.

Kisah Herry Nizam menerusi akaun TikToknya, @herrynizam4 itu mula mendapat perhatian warganet yang turut memberi sokongan terhadap misi perjalanannya ke tanah suci itu.

Lelaki itu menerusi video yang dimuat naik memulakan perjalanan dengan menggalas sebuah beg bersama sehelai Jalur Gemilang dan dia difahamkan akan merentas 12 negara bermula dengan Thailand ke Arab Saudi.

Difahamkan pemuda itu telah berada di Sadao, Thailand, Khamis lalu.

“Assalamualaikum semua sahabat yang saya kasihi, sekarang dah sampai dekat Sadao Thailand, lusa (Sabtu) baru jalan semula ke Myanmar, India, Nepal, Pakistan, China, Kyrgyzstan, Kazakhstan, Uzbekistan, Iran, UAE dan Arab Saudi.

“Doa kalian jambatan buat saya ke rumah Allah SWT,” kongsinya di TikTok, menurut laporan Sinar Harian.

Mengikut peta perjalanan di aplikasi Google Map, dia dijangka menempuh perjalanan berjalan kaki sejauh lebih 10,160km untuk tiba ke Mekah.

Berdasarkan peta itu, dia memerlukan masa selama 84 hari dan 10 jam bagi melengkapkan perjalanan tersebut.

Media sebelum ini melaporkan, misi sama pernah dijalankan oleh seorang lelaki dikenali sebagai Adam Muhammad yang menempuh perjalanan sejauh 6,500km dengan berjalan kaki dari rumahnya di Wolverhamppton, England ke Mekah.

Adam yang memulakan perjalanan pada Ogos 2021 mengambil masa selama 11 bulan dan tiba di Tanah Suci Julai 2022 bagi menunaikan haji di usia 52 tahun.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *