DAIHATSU Motor Company, anak syarikat Toyota Motor didakwa mengakui menipu dan memalsukan keputusan ujian keselamatan kemalangan melibatkan bahagian panel sisi pintu bagi 88,000 unit kereta yang dijual di bawah jenama Toyota.
Lapor Sinar Harian yang memetik agensi berita Reuters, syarikat itu mengesahkan kemasan pintu diubah suai dengan sebuah ‘takik’ (notch) untuk meminimumkan risiko panel pintu tersebut boleh pecah dan terhasilnya bucu tajam yang akan mencederakan ketika beg udara sisi diaktifkan.
Menurut laporan itu, model yang terjejas termasuk Toyota Yaris Ativ buatan Thailand dari Ogos lalu dan Perodua Axia yang dikeluarkan di Malaysia bermula dari Februari.
Daripada 88,000 kenderaan itu, kira-kira 11,800 merupakan kereta Perodua Axia 2023 yang dijual di Malaysia.
Baki selebihnya atau kira-kira 76,000 adalah model Yaris terutamanya untuk negara Thailand, Mexico dan Majlis Kerjasama Teluk (Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar, Bahrain, Oman).
Dalam pada itu, Pengerusi Toyota, Akio Toyoda berkata, kejadian itu tidak boleh diterima kerana melanggar kepercayaan pelanggan.
“Kami sedang menyiasat bagaimana panel sisi Yaris dan model lain telah ditukar untuk ujian keselamatan dan memohon maaf atas apa yang berlaku kerana dilihat sebagai pencabulan ke atas kepercayaan pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, pihaknya tidak menerima sebarang laporan mengenai kemalangan atau kecederaan yang berkaitan dengan ujian kemalangan.
Tambah beliau, siasatan secara terperinci akan dilakukan, namun memerlukan sedikit masa.
Leave a Reply