BEKAS perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat tidak perlu takut dengan pengaruh “gelombang hijau” Perikatan Nasional (PN).
Beliau yang juga bekas pengerusi Bersatu berkata, Malaysia menyaksikan pembangunan pesat apabila ditadbir kerajaan majoriti Melayu selama 60 tahun.
“Kaum bukan Melayu mencapai banyak kemajuan.
“Tak usahlah cuba menakutkan pemerintahan orang Melayu dengan menconteng mereka warna hijau,” ciapnya di Twitter miliknya.
“Gelombang hijau” merujuk sokongan tidak dijangka yang diperolehi PN pada PRU15, apabila mereka memenangi 74 kerusi, dengan Pas menyumbang 43 dan Bersatu 31.
Kerusi yang dimenangi Pas itu menjadikannya parti politik tunggal terbesar di Parlimen, manakala DAP kedua terbesar dengan 40 kerusi.
Enam negeri Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan yang dikuasai PH, serta Kedah, Kelantan dan Terengganu pimpinan Pas akan mengadakan PRN selepas Jun ini, dan penganalisis menjangkakan PN akan memberi saingan sengit berdasarkan prestasinya pada PRU15.
Terdapat juga dakwaan PN sedang berusaha menjatuhkan kerajaan perpaduan dengan memujuk beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional keluar parti dan mengorbankan kerusi mereka, yang akan mencetuskan pilihan raya kecil.
Leave a Reply