PN desak Sivakumar direhatkan daripada tugas rasmi

PERIKATAN Nasional (PN) menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) tidak mengamalkan sikap pilih kasih berhubung siasatan rasuah melibatkan pemimpin parti itu.

Menurut Ketua Penerangan Pas, Ir Khairil Nizam Khairudin, siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kes rasuah berkaitan imbuhan kelulusan pekerja asing semakin banyak melibatkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar namun beliau tidak direhatkan.

“Perdana Menteri sewajarnya merehatkan Sivakumar selari dengan tindakan desakan Majlis Presiden PH terhadap kes Tan Sri Azam Baki pada 2022.

“Tindakan ini penting untuk memastikan SPRM dapat menjalankan tugas dengan bebas dan tanpa tekanan serta campur tangan pihak berkepentingan yang memiliki kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, Khairil Nizam berkata, selain itu Majlis Presiden PH pernah juga pernah mendesak Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR), Tan Sri Abu Zahar Ujang dan Pengerusi Panel Perundingan & Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah direhatkan sehingga siasatan dakwaan pemilikan saham Tan Sri Azam Baki selesai.

“Antara tatakelola baik yang diamalkan dalam dunia korporat dan industri adalah dengan memberikan Garden Leave bagi merehatkan pegawai yang berkenaan bagi melindungi kepentingan perniagaan dan juga reputasi baik sesebuah organisasi,” katanya.

Kata Khairil Nizam lagi, pada 14 April 1999 Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pernah menjatuhkan hukuman enam tahun penjara ke atas Anwar, setelah disabitkan atas empat kesalahan berhubung penyalahgunaan kuasa campur tangan dalam siasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

“Rakyat tidak mahu lagi melihat kes sebegini berulang di dalam kerajaan,” tegasnya menurut laporan Sinar Harian.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *