diserang buaya

Ingat pesan orang tua cucuk mata buaya selamatkan diri

“KETIKA bergelut itu saya tidak panik dan teringat pesan orang-orang tua supaya mencucuk mata buaya”.

Itu cerita seorang nelayan berkongsi detik-detik cemas setelah dia diserang seekor buaya semasa menjala udang di kawasan pintu air Kampung Sungai Buloh di Sadong Jaya, kelmarin.

Tindakan berani itu terbukti menyelamatkan nyawa Shahril Saupi, 36, yang berasal dari Kampung Rangawan.

Sehubungan itu katanya, dia bersyukur kerana masih selamat dan hanya cedera di betis kiri dan perut dalam kejadian itu.

“Saya turun menjala udang kira-kira pukul 4 petang di kawasan pintu air itu, ketika itu saya sudah memperoleh kira-kira dua kilogram udang.

“Kira-kira pukul 5 petang, tiba-tiba kaki kiri saya disambar buaya dan saya ditarik ke kawasan air yang dalam,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Mengulas detik cemas itu, pekerja am di Sekolah Rendah Kebangsaan (SK) Pendam berkata, dia bergelut dengan buaya terbabit kira-kira lima minit untuk melepaskan diri.

Katanya, pada ketika itu dia tidak panik dan teringat pesan orang-orang tua supaya mencucuk mata buaya.

“Selepas berjaya mencucuk mata buaya terbabit barulah reptilia itu melepaskan gigitan,” katanya.

Shahril berkata, dalam keadaan menahan kesakitan dia menguatkan kudrat berenang ke tebing sungai sebelum mendapatkan bantuan penduduk.

“Sepanjang lima tahun menjala udang di kawasan itu, ini kali pertama saya diserang buaya dianggarkan sepanjang 3.96 meter ini.

“Malah, penduduk sering melihat kelibat buaya ini memakan sisa sampah di kawasan mereka,” katanya.

Shahril yang mempunyai tiga anak berkata, dia menjala udang bagi menambah pendapatan keluarga.

“Saya menasihatkan penduduk supaya berhati-hati ketika keluar menangkap ikan atau udang di sungai ini.

“Kita mahu pihak berkenaan menangkap buaya ganas ini bagi keselamatan penduduk,” katanya yang kini masih mendapat rawatan di Hospital Umum Sarawak(HUS).


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *