VOKALIS kumpulan XPDC, Mael yang meninggal dunia malam tadi dilapor bersungguh-sungguh meminta maaf dari ahli keluarganya semasa sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya.
Perkara itu diceritakan anak saudara allahyarham, Norashikin Abdullah, 44, ketika ditemui di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar.
Menurutnya, mereka sekeluarga mengakui terkejut dengan berita pemergian bapa saudaranya atau nama sebenarnya Syed Ismail Syed Ibrahim.
Katanya, karakter allahyarham yang sangat tenang pastinya memberi kesan mendalam kepada seluruh anggota keluarga dan sahabat handai.
“Peribadi arwah ini memang luar biasa kerana dia memang menekankan pendidikan agama anak-anaknya sejak kecil lagi.
“Raya kali ini juga dia bersungguh-sungguh meminta maaf pada ahli-ahli keluarganya seolah-olah memberi petanda dia akan pergi selamanya,” katanya, menurut laporan Astro AWANI.
Dalam pada itu, jenazah Mael selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bakri, Batu 6, di Muar, sekitar pukul 10.55 pagi.
Kira-kira 200 orang termasuk ahli keluarga, rakan artis, peminat serta penduduk setempat memenuhi pekarangan tanah perkuburan bagi menyaksikan upacara pengebumian dan memberikan penghormatan terakhir kepada allahyarham.
Allahyarham Mael menghembuskan nafas terakhir pada usia 55 tahun di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) di Muar kira-kira pukul 9.30 malam tadi.
Jenazah kemudian dibawa ke kediaman anaknya di Jalan Sungai Abong, Muar dan disembahyangkan terlebih dahulu sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Antara rakan artis yang hadir termasuk ahli-ahli kumpulan XPDC serta Joe Wings.
XPDC merupakan kumpulan rock popular ketika era 1980 hingga 1990-an dan sering mengadakan konsert di tapak pesta di seluruh negara sehingga diberi jolokan sebagai ‘Raja Funfair.’
Leave a Reply