PARTI Amanah merayu Yang di-Pertuan Agong dan Lembaga Pengampunan supaya menolak permohonan pengampunan bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun.
Menurut Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad, hanya dengan cara itu rakyat akan yakin kerajaan dan Institusi Raja-raja Melayu menyelamatkan negara dari salah guna kuasa sejak sekian lama.
“Amanah berpandangan, pengampunan kepada Najib akan menghantar mesej yang sangat tidak baik kepada rakyat, sistem keadilan negara dan juga kepada seluruh dunia berhubung sikap dan pendirian kita terhadap rasuah dan salah guna kuasa.
“Ia akan merosakkan imej dasar Membangun Malaysia Madani yang dibawa oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan, menurut laporan MalaysiaNow.
Lembaga Pengampunan akan bersidang dan membuat keputusan sama ada memberikan pengampunan kepada Najib atau tidak hari ini.
Khalid berkata, meskipun sifat kesetiaan dan mengenang jasa terhadap pemimpin secara amnya adalah satu sifat positif, namun dalam konteks ini adalah lebih baik UMNO bersama PH menunjukkan komitmen terhadap usaha memerangi rasuah yang menjadi paksi masyarakat Madani.
Tindakan UMNO, katanya kelihatan sedikit terpesong daripada wawasan masyarakat Madani yang diperjuangkan bersama.
“Lagipun, Najib berdepan dengan banyak lagi kes di mahkamah yang sedang dibicarakan. Apakah selepas diampunkan, beliau akan masuk ke penjara lagi jika didapati bersalah selepas ini? Atau dianggap beliau berada di satu maqam dan kedudukan istimewa yang kebal undang-undang?”
Mengulas mengenai pendirian Amanah yang juga parti komponen Pakatan Harapan (PH), yang hanya “berdiam diri” dalam isu itu, Khalid menegaskan parti terbabit mengakui dan mengiktiraf pengampunan adalah hak mutlak Agong.
“Namun demikian, tiada salahnya untuk Amanah memberi pandangannya terhadap isu ini.
“Adalah diharap pandangan ini apabila disuarakan akan membantu Agong untuk membuat keputusan yang baik dan tepat bagi dirinya, Institusi Raja-raja Melayu dan negara ini secara keseluruhannya,” katanya.
Leave a Reply