Suami isteri tular buat aksi ‘wheelie’ serah diri

POLIS hari ini menahan sepasang suami isteri di Kelantan selepas usaha mengesan pasangan itu dibuat susulan rakaman video mereka menunggang motosikal sambil membuat aksi ‘wheelie’ tular di media sosial.

Menurut Ketua Polis Kota Bharu Mohd Rosdi Daud, pasangan berusia 16 dan 17 tahun itu menyerah diri pada pukul 10 pagi tadi di IPD Kota Bharu.

Beliau berkata, pasangan berkenaan sebelum ini diburu polis selepas video aksi mereka itu yang dirakamkan di Jalan Pasir Puteh, Peringat tular.

Katanya, mereka pada mulanya menghilangkan diri selama dua hari selepas diburu pihak polis.

“Mereka kini kini dalam proses permohonan reman pada Jumaat untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya dalam satu kenyataan, lapor Free Malaysia Today.

Mengulas lanjut Rosdi berkata, pasangan itu dipercayai terlibat dalam aksi menunggang motosikal secara berbahaya yang boleh mendatangkan bahaya kepada diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain.

Jika disabitkan kesalahan katanya, mereka boleh dihukum penjara tidak melebihi lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM5,000, tidak lebih daripada RM15,000.

Polis pada Selasa lalu memburu seorang penunggang motosikal yang membuat aksi ‘wheelie’ sambil membonceng seorang wanita dan tidak memakai topi keledar.

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Mat Kasim Karim dalam satu kenyataan berkata, tindakan itu diambil selepas aksi pasangan berkenaan tular di media sosial.

“Video itu memaparkan pasangan berkenaan lengkap berpakaian baju Melayu dan baju kurung berwarna biru,” katanya.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *