PSI didakwa bakal ‘lenyapkan’ nelayan pantai – Laporan

PROJEK Pulau Pinang Selatan (PSI) yang membabitkan pembangunan tiga pulau buatan dengan keluasan 1,700 hektar di perairan Permatang Damar Laut, Bayan Lepas, di Georgetown didakwa bakal melenyapkan nelayan pantai yang mencari nafkah di kawasan itu.

Memetik laporan Berita Harian, walaupun ada usaha membantu dengan memberikan kelengkapan seperti bot dan pukat yang lebih canggih dan dapat pergi ke kawasan perairan lebih jauh, tidak semua nelayan pantai dekat situ memperoleh manfaat berkenaan.

Menurut Ketua Unit Nelayan Permatang Tepi Laut, Mohammad Kassim Mohamed, 59, kawasan perairan itu kaya dengan hasil udang yang mendorong nelayan dari kawasan B dan C juga datang untuk memukat di kawasan A yang terdiri daripada nelayan pantai.

“Dianggarkan kira-kira 30 hingga 50 kilogram (kg) hasil udang sehari diperoleh apabila nelayan pantai turun memukat yang tidak jauh dari kawasan penempatan penduduk. Di unit kita mempunyai lebih 200 nelayan pantai.

“Namun, jika ada pulau buatan kelak pastinya ia akan menyebabkan nelayan pantai lenyap kerana mereka tidak boleh lagi cari makan.

“Untuk pergi ke kawasan B dan C pula keupayaan dari segi enjin bot terhad, yang dapat bantuan pula tidak semua jadi ia makan modal. Bahkan nelayan kawasan B dan C juga mencari makan di kawasan A,” katanya, hari ini.

Mengulas lanjut Mohammad Kassim berkata, selain impak hasil tangkapan laut berkurangan, nelayan yang tinggal berhampiran dengan tapak projek juga akan terjejas.

“Seperti di unit saya, terdapat 120 rumah membabitkan 150 keluarga dengan lebih 1,000 penduduk terdiri dari komuniti nelayan tinggal di sini.

“Bagi merealisasikan projek ini, sebahagiannya telah ditawarkan rumah baharu yang terletak di Balik Pulau namun mereka masih belum berpindah dan status tergantung sehingga hari ini.

“Bagaimana pula dengan baki yang tidak tahu mereka akan tinggal di mana apabila projek ini dimulakan kelak yang saya harap tolonglah berfikir secara keseluruhannya,” katanya.

Jelasnya, komuniti nelayan dan penduduk tidak bersetuju dengan PSI memandangkan terlalu banyak keburukan berbanding kebaikan.

“Saya dengar selepas projek ini, akan ada lagi projek besar yang lain antaranya pembesaran lapangan terbang yang pastinya memberi impak serta risiko kepada penduduk sekeliling kawasan ini.

“Nelayan dan penduduk tidak bersetuju tetapi apabila nak buat juga mereka (pihak pemaju berkaitan) kemukakan pelbagai langkah dan bantuan tetapi malangnya banyak janji yang tidak ditepati,” katanya.

PSI bernilai RM11 bilion membabitkan penambakan laut secara besar-besaran, termasuk pembinaan tiga pulau buatan adalah sebahagian daripada pelan induk Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Semalam, projek yang mendapat tentangan hebat itu mendapat kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) namun dengan 71 syarat yang perlu dipenuhi.

Perkara itu dimaklumkan Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *