KEDEGILAN dua pemandu bas ekspres memandu sambil menggunakan telefon bimbit membawa padah apabila disaman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) baru-baru ini.
Menurut Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya, kesalahan itu dikesan ketika penyamaran anggotanya sebagai penumpang ketika pelaksanaan Ops Hari Raya Aidilfitri (HRA) 2023 pada 17 dan 18 April lalu.
Beliau berkata, pelbagai kesalahan dikesan iaitu penggunaan telefon bimbit semasa memandu, memandu di lorong kanan secara berterusan, tiada pemandu kedua bagi perjalanan melebihi 300 kilometer (km) atau empat jam berterusan, tatacara kelakuan pemandu dan kesalahan teknikal.
“Dua pemandu itu masing-masing dikesan ketika dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan, Kuala Lumpur ke Kuala Terengganu dan Kuala Terengganu ke Shah Alam.
“JPJ Selangor telah mengambil tindakan saman terhadap dua pemandu berusia lingkungan 40-an itu serta pemilik,” katanya, hari ini.
Mengulas lanjut, Khairul Khar berkata, kesalahan yang dikesan ke atas bas lain ialah memotong di garisan berkembar, menurunkan penumpang di tempat tidak dibenarkan selain tata kelakuan pemandu.
Katanya, pemandu diingatkan sentiasa mematuhi peraturan dan undang-undang jalan raya.
“Ini demi memastikan keselamatan pemandu dan penumpang selamat tiba ke destinasi dituju,” katanya menurut laporan Sinar Harian.
Leave a Reply