‘Kenapa rumah terbuka diadakan di 6 negeri hadapi PRN?’, tanya Shahidan

LANGKAH kerajaan campuran PH-BN mengadakan Rumah Terbuka Malaysia Madani di enam negeri yang akan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi boleh menimbulkan prasangka dalam kalangan rakyat yang melihatnya sebagai langkah politik.

Menurut Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim, walaupun berkali-kali dinafikan oleh pimpinan kerajaan namun rakyat tetap melihat penganjurannya hanya di Kedah, Kelantan, Terengganu, Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan itu sebagai platform politik.

“Kenapa tidak mahu buat di Perlis dan negeri lain. Negeri yang dilaksanakan majlis itu pula adalah negeri yang bakal hadapi PRN, jadi sudah tentulah akan timbul syak wasangka dan ini tidak manis dan tidak wajar berlaku kerana jika kita buat sesuatu kerja, kita tidak akan mahu menimbulkan buruk sangka dalam kalangan rakyat.

“Sekiranya kerajaan menganjurkan rumah terbuka itu bertujuan berkempen bagi PRN, Perikatan Nasional (PN) juga boleh melakukan tindakan sama bagi memastikan kemenangan di negeri berkenaan,” katanya.

Beliau menyatakannya ketika diminta mengulas keputusan kerajaan pusat mengadakan majlis berkenaan di enam negeri bermula pada Sabtu ini di Kedah dan dijangka berakhir pada 14 Mei di Selangor.

Selain itu, majlis sama turut dijadualkan berlangsung di Pulau Pinang (6 Mei), Negeri Sembilan (7 Mei), Kelantan (12 Mei) dan Terengganu (13 Mei).

Mengulas lanjut, Shahidan berkata, pihaknya tidak pasti niat sebenar kerajaan yang menganjurkan majlis berkenaan di negeri berkenaan.

“Saya tak pasti apa niat mereka (kerajaan) melalui penganjuran rumah terbuka ini dan pastinya ia akan menimbulkan syak wasangka.

“Jika tujuannya ikhlas bagi menyambut Aidilfitri, maka baguslah tapi kalau ia untuk berkempen maka kita pun akan lawan.

“Rakyat sedang marah dan mereka juga tertanya-tanya adakah penganjuran rumah terbuka ini untuk tujuan kempen atau sebaliknya,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Beliau berkata, sekiranya majlis itu tetap diteruskan, parti diwakili kerajaan bakal berdepan kekalahan teruk susulan penolakan rakyat dalam PRN nanti.

Sementara itu, walaupun tiada peruntukan yang diberikan kepada Ahli Parlimen dari blok pembangkang di Parlimen, Shahidan tetap meneruskan penganjuran majlis rumah terbuka Aidilfitri seperti biasa sama seperti tahun sebelum ini.

Malah, penganjuran Majlis Rumah Terbuka Bersama Ahli Parlimen Arau itu sudah menjadi tradisi sejak 1986.

Selain rakyat setempat, beberapa pemimpin utama PN juga turut dijemput hadir bagi memeriahkan lagi penganjuran rumah terbuka itu yang dijadual berlangsung pada hari ini dari jam 10 pagi hingga 2 petang nanti.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *