PENGANALISIS menyifatkan pengurusan komunikasi dan media oleh kerajaan campuran Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) boleh ditafsirkan seperti berada dalam krisis kecelaruan utama khususnya selepas beberapa episod “pembatalan” dan “sekatan” terhadap pembangkang pada siaran televisyen tempatan.
Memetik laporan MalaysiaNow, Pensyarah Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi Mara (UiTM) Abd Aziz Azizam melihat ketidakupayaan pengurusan itu memberi gambaran kepada orang awam kerajaan hari ini seolah-olah dalam keadaan “ketakutan”.
Perkembangan itu susulan slot takbir raya Perikatan Nasional (PN) yang dijadualkan bersiaran pada malam raya 21 April lalu dibatalkan pada saat akhir.
Langkah tersebut kemudiannya mencetuskan perhatian dengan ramai pihak mengandaikan arahan saat akhir itu diberikan oleh anggota-anggota dalam kerajaan yang tidak mahu pemimpin pembangkang muncul di stesen televisyen ditonton oleh majoriti kaum Melayu seperti TV3.
Pada masa sama, ramai pemimpin pembangkang mula mempersoalkan sama ada kebebasan media di bawah pentadbiran kerajaan campuran semakin terhakis dan dikawal sepenuhnya oleh Kementerian Komunikasi dan Digital dengan Fahmi Fadzil, selaku menterinya.
Sebelum ini, PN dalam kenyataan di Facebook berkata pembatalan dimaklumkan oleh stesen TV itu pada 10.11 malam, beberapa minit sebelum siaran yang patutnya disiarkan pada 10.20 malam yang sama.
Aziz berkata jika dilihat pada senario beberapa tahun lepas parti-parti politik yang membentuk kerajaan semasa ialah mereka yang sering kali mengkritik kawalan media oleh kerajaan-kerajaan terdahulu.
“Dan apabila mereka mendapat mandat sebagai kerajaan, mereka sendiri dilihat gagal membawa aspirasi yang mereka laungkan semasa menjadi pembangkang,” katanya kepada MalaysiaNow.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kawalan media oleh kerajaan boleh difahami melalui dua keadaan.
Pertama, apabila sesebuah kerajaan itu benar-benar kukuh dengan sokongan kuat pada pilihan raya.
Contohnya memenangi majoriti dua pertiga dan meraih undi popular yang tinggi maka fungsi pembangkang akan melemah.
Sementara itu media akan menjalankan keseluruhan fungsinya dengan membawa aspirasi nasional dengan jelas dan kukuh kerana kestabilan kerajaan terjamin.
“Keadaan ini berlaku pada zaman Dr Mahathir Mohamad pada siri yang pertama (sebagai perdana menteri) dan hal ini sering disalah tafsir oleh pemerhati politik sebagai ‘government control media’.
“Sedangkan pada masa itu ramai pengkritik yang lemah gagal mendepani, mengkritik dengan kritis tindakan kerajaan pada masa itu. Hal ini perlu dilihat pada konteks yang lebih adil,” katanya.
Selama 22 tahun mentadbir kerajaan, perdana menteri keempat Mahathir sering kali dikritik sebagai perdana menteri paling menguasai media dengan banyak aktiviti parti politiknya ketika itu UMNO dan BN turut menjadi agenda dalam siaran televisyen dan radio milik kerajaan seperti RTM dan Bernama.
Antaranya, siaran langsung Perhimpunan Agung UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), kini dikenali sebagai WTC) disiarkan selama beberapa hari di televisyen selain tayangan video yang memaparkan wajahnya sebagai perdana menteri hampir setiap jam di RTM.
Ketika itu juga tiada ruang untuk pemimpin pembangkang mendapat masa tayangan dan liputan media oleh agensi penyiaran milik kerajaan.
Pada zaman pentadbiran perdana menteri kelima Abdullah Badawi pula, kawalan media dilihat pasif kerana tindakannya yang hanya meneruskan acuan yang sudah pun disediakan oleh Mahathir.
Manakala pada keadaan kedua pula, Aziz berkata kawalan media oleh kerajaan berlaku apabila pemerintah tidak cukup kuat dan memerlukan satu “communication force” untuk membantunya menyalurkan persepsi baik kepada rakyat.
“Iaitu dengan mengawal media.
“Ini jelas berbeza dengan situasi pertama,” katanya.
Tambahnya, apa yang sedang berlaku sejak kebelakangan ini bertepatan dengan situasi kedua apabila kecelaruan utama menjadikan pentadbiran kerajaan penuh retorik.
Ini kemudiannya akan menjauhkan rakyat kepada misi-misi dan aspirasi nasional.
Apabila perkara ini berlaku, kata Aziz, pengupayaan kawalan terhadap media akan terus dipertingkatkan dan masyarakat pula akan dikongkong kepada pendapat yang terhad.
“Hal-hal kecil seperti takbir raya, sekatan ke atas individu di luar konteks politik menggambarkan kelemahan pentadbiran.
“Adakah dengan tindakan sebegitu membuatkan lebih ramai orang awam menyokong kerajaan yang ada hari ini?”
RTM kekal jentera propaganda kerajaan?
Dalam pada itu, penganalisis politik berpangkalan di Australia, James Chin menegaskan ramai pihak tidak jelas dalam perbincangan soal kebebasan media, mengatakan stesen penyiaran seperti RTM adalah syarikat penyiaran pemilikan kerajaan dan ianya tidak akan pernah menjadi entiti media yang bebas.
Ini kerana, katanya kewujudan stesen penyiaran seperti RTM sememangnya untuk mengutamakan polisi dan hasrat kerajaan semasa.
Atas sebab itu, beliau memberitahu menggunakan RTM dan siaran-siaran yang sama dengan agensi itu untuk “case study” kebebasan media adalah tidak tepat.
“Kena lihat RTM sebagai satu organisasi (kerajaan) dan juga sebahagian daripada kementerian dan jabatan-jabatan.
“Anda mungkin boleh persoalkan sama ada kebebasan media terancam di bawah kerajaan perpaduan?
“Jawapan saya, tidak,” katanya kepada MalaysiaNow.
Berbalik kepada Aziz, beliau sekali lagi menegaskan kerajaan seharusnya melihat keupayaan komunikasi dan media pada konteks yang lebih luas dan berobjektif, bukan sebagai satu ancaman.
Leave a Reply