TINDAKAN penyanyi dan komposer popular Naim Daniel bermain mercun bola membawa padah selepas dia cedera ringan pada bahagian dahi dan tangan kanan berikutan mercun dipegangnya meletup sebelum sempat dilemparkan.
Menurut Naim atau nama sebenarnya, Muhammad Naim Daniel Baharin, 26, insiden itu berlaku ketika sedang seronok bermain mercun bersama anggota keluarga di kampung halamannya di Melaka.
“Kejadian berlaku cukup pantas. Saya nampak sumbu mercun masih panjang dan belum sempat saya campak mercun bola, tiba-tiba ia meletup.
“Memandangkan mercun meletup depan muka, dahi saya mengalami luka kecil dan kuku jari kanan saya pecah.
“Saya kemudiannya pergi ke klinik berdekatan untuk mendapatkan rawatan. Tiada jahitan dikenakan, cuma kena balut di bahagian yang cedera,” katanya menurut laporan BH Online.
Pada soalan adakah dia serik bermain mercun selepas insiden malang itu, penyanyi lagu Sumpah tersebut berkata, kejadian itu memberi pengajaran kepadanya untuk lebih berhati-hati.
“Selepas insiden ini, saya hanya bermain bunga api. Kena marahlah juga dengan mak sebab tidak berhati-hati ketika main mercun,” cerita Naim sambil tertawa.
Terdahulu, juara Anugerah Juara Lagu Ke-34 (AJL 34) itu turut berkongsi kemalangan yang dialaminya dalam Instagram (IG).
Menerusi hantaran itu, Naim turut menasihatkan pengikutnya tidak bermain mercun bola jika tidak mahu kecederaan menimpa.
Leave a Reply