BUKAN sahaja tidak dapat menunaikan umrah malah lebih 80 individu terpaksa menanggung kerugian lebih RM600,000 apabila mendakwa ditipu sebuah agensi pelancongan yang menguruskan ibadat itu.
Semua mangsa sepatutnya menunaikan umrah Disember tahun lalu selepas melunaskan bayaran, namun ditangguhkan.
Mangsa, Noraini Pauzi, 50, dari Machang, Kelantan berkata, dia sepatutnya menunaikan umrah bersama anaknya dan membayar RM15,200 memandangkan pakej setiap seorang adalah RM7,600.
“Kami membuat bayaran sejak Oktober tahun lalu, namun sehingga kini wang bakal jemaah tidak dikembalikan.
“Kami sepatutnya berlepas pada 14 Disember tahun lalu namun seminggu sebelum berlepas, kami dimaklumkan oleh agensi berkenaan umrah kami ditangguhkan susulan Piala Dunia di Qatar,” katanya menurut Berita Harian.
Katanya, pihak penganjur kemudian menjanjikan akan berlepas pada Februari, namun sekali lagi gagal kerana dimaklumkan terdapat masalah di Makkah, sebelum sekali lagi berjanji untuk penerbangan seterusnya pada Mac.
“Namun, janji tinggal janji dan hasrat kami untuk menunaikan umrah tidak kesampaian. Apabila kami mendesak untuk mendapatkan semula wang kami, pelbagai alasan diberikan dan sehingga kini masih menunggu wang itu dikembalikan,” katanya.
Noraini bersama lebih 20 bakal jemaah lain membuat laporan di Balai Polis Kota Bharu.
Seorang lagi mangsa, Hasliliwani Ab Ghani, 37, turut meluahkan rasa kecewa apabila hasratnya bersama kakak serta abang menunaikan umrah tidak kesampaian.
“Lebih menyedihkan duit yang kami gunakan adalah duit arwah ibu kerana sebelum meninggal dunia, dia (ibu) berhasrat untuk membawa kami adik beradik menunaikan umrah, namun tidak kesampaian,” katanya.
Leave a Reply