Oleh RIZQI ZABIDI
Polis menahan tiga lagi individu termasuk seorang wanita berhubung kes melarikan seorang lelaki di depan sebuah hotel, dekat Shahab Perdana, Alor Setar yang tular di media sosial sejak kelmarin.
Penahanan tiga individu tersebut menjadikan tangkapan keseluruhan seramai empat orang setakat ini setelah seorang suspek berusia 43 tahun terlebih dulu ditahan, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, ketiga-tiga individu berkenaan ditahan di tiga lokasi berasingan antara pukul 7 petang hingga 9 malam tadi.
“Tiga tangkapan terbaru ini melibatkan seorang wanita berusia 39 tahun serta dua lelaki berumur 42 dan 40 tahun. Kesemua mereka ditahan di Changlun, Jitra dan sekitar Alor Setar.
“Wanita tersebut didapati positif dadah jenis methamphetamine. Kesemua mereka direman selama enam hari hingga 1 Mei depan,” katanya ketika dihubungi Warta Rakyat , hari ini.
Sejak kelmarin tular di media sosial klip video berdurasi 41 saat memaparkan mangsa dipaksa menaiki sebuah kereta putih oleh beberapa individu termasuk seorang wanita sambil menjerit kesakitan.
Mangsa dipercayai merupakan seorang lelaki berusia 27 tahun dengan kejadian itu kemudiannya dilaporkan kepada pihak polis oleh bapanya berusia 46 tahun, setelah dia ditunjukkan klip video kejadian itu oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.
Mengulas lanjut Ahmad Shukri berkata, mangsa kini sudah ditemui.
“Setakat ini siasatan masih berjalan secara menyeluruh termasuk berkaitan motif kejadian,” katanya.
Leave a Reply