PIHAK pengurusan TV3 dan kerajaan Persekutuan terutama Kementerian Komunikasi dan Digital perlu bersikap jujur dalam isu pembatalan siaran takbir hari raya Perikatan Nasional (PN) yang dijadual disiarkan stesen tersebut pada 21 April lalu.
Timbalan Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, sebagai sebuah stesen dikenali ramai pembatalan sebegitu tidak sepatutnya berlaku sama sekali.
“Pembatalan siaran berkenaan yang dibayar parti terbabit hanya dimaklumkan melalui e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan pada pukul 10.20 malam.
“Meskipun dalam e-mel yang dihantar kira-kira lima minit sebelum takbir berkenaan dijadual disiarkan, pihak TV3 memberitahu langkah itu terpaksa diambil kerana masalah teknikal sekali gus berjanji akan memulangkan bayaran yang dibuat oleh PN sebelum itu.
“Nnamun sebagai sebuah televisyen ternama dan veteran dalam dunia penyiaran negara, PN beranggapan insiden itu tidak harus berlaku sama sekali.
“Malah alasan masalah teknikal sebagai punca pembatalannya juga amatlah janggal dan tidak boleh diterima,” katanya dalam kenyataan media hari ini, lapor Malaysiakini.
Justeru katanya, PN mendesak pihak pengurusan TV3 dan Kementerian Komunikasi dan Digital supaya bersikap jujur dalam isu ini, sekali gus menafikan berlakunya campur tangan politik untuk mensabotaj siaran takbir berkenaan atas apa-apa tujuan sekali pun.
Terdahulu media melaporkan slot takbir raya PN selama lima minit yang dijadualkan untuk siaran di TV3 dibatalkan.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal membuat ciapan di Twitter mengenai perkara itu pada hari berkenaan.
“TV3 batalkan walaupun kami dah bayar untuk siaran. Adalah tu yang mengarahkan,” dakwanya.
Menurut Wan Ahmad Fayhsal lagi, siaran takbir raya itu dibatalkan pada saat terakhir.
“Jam 10:11 malam baru dimaklumkan melalui emel,” kata Ahli Parlimen Machang itu pada ciapan di Twitter.
Sementara itu Takiyuddin menegaskan, integriti TV3 dan Kementerian Komunikasi dan Digital sangat bergantung kepada kesediaannya untuk bersikap telus dan profesional, terutama dalam menghormati kontrak dan janji yang dibuat secara sah dan formal.
Leave a Reply