Oleh BADLISHAH MAT
SEORANG pemandu Proton Waja maut selepas keretanya dihempap pokok yang dipercayai tumbang dalam kejadian ribut di Jalan Lencongan Timur, berdekatan Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di Sungai Petani, malam tadi.
Lelaki berusia lingkungan 50-an yang mengalami kecederaan parah di kepala dan badannya itu belum disahkan identitinya setakat ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Aman Jaya, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Azahari Abdullah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 8.27 malam ketika berlaku kejadian angin kencang dan hujan lebat di kawasan berkenaan.
“Apabila sampai di lokasi kejadian didapati lima buah kereta termasuk Proton Waja terbabit, Mercedes-Benz, Perodua MyVi dan Nissan X Trail mengalami kerosakan akibat dihempap lebih 10 batang pokok.
“Pemeriksaan lanjut mendapati pemandu kereta Proton Waja dalam anggaran umur 50-an meninggal dunia selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan bahagian badannya,” katanya.
Menurutnya, empat lagi pemandu kenderaan lain dan penumpang masing-masing turut mengalami kecederaan, namun jumlah sebenar kesemua mangsa terlibat masih dalam siasatan.
“Mayat lelaki berkenaan serta mangsa yang cedera diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke HSAH untuk tindakan lanjut,” katanya.
Azahari berkata, seramai 16 anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Petani, BBP Aman Jaya dan dibantu oleh 14 anggota sukarela terlibat dalam operasi tersebut.
“Dengan bantuan tiga jengkaut milik kontraktor THB serta peralatan Rescue Tools, mangsa-mangsa berjaya dibawa keluar daripada kenderaan masing-masing,” katanya.
Leave a Reply