Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
PANGGILAN video isteri berjaya menyelamatkan suami dan rakannya dalam rompakan di sebuah pelantar minyak di Pelabuhan Tanjung Langsat, Kota Tinggi, semalam.
Pemangku Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 10 malam semasa isterinya sedang membuat panggilan terhadap mangsa.
Jelasnya, isteri mangsa yang berusia 24 tahun berada di Johor Bahru membuat panggilan video dari rumahnya di Johor Bahru.
“Sewaktu panggilan dibuat, isteri kru pelantar menyaksikan telefon bimbit suaminya dirampas perompak dan paparan skrin telefon berkenaan bertukar gelap. Wanita terbabit bertindak pantas dengan melaporkan kejadian tersebut kepada MERS999,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Maritim Malaysia Tanjung Sedili di Kota Tinggi hari ini.
Menurut Saiful Lizan, Maritim Malaysia kemudiannya menghubungi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) untuk mengesan kedudukan pelantar yang dilaporkan oleh isteri mangsa.
“Kebetulan isteri kru pelantar itu tahu lokasi suaminya, dengan menyebut pelantar Aurora Produser 1. Anggota kemudiannya menghubungi LPJ untuk mengesan kedudukan pelantar itu.
“Kami mengarahkan bot peronda yang sedang dalam Ops Pagar Laut untuk membuat tinjauan di pelantar dan memang benar terdapat empat suspek sedang menarik kabel logam ke dalam bot di bawah pelantar terbabit,” katanya.
Katanya, mangsa masih lagi trauma namun telah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, Pasir Gudang.
Tambah beliau, kKedua mangsa dilaporkan mengalami kecederaan dan diuruskan oleh ejen perkapalan mereka untuk rawatan.
Leave a Reply