Oleh ABU UBAIDILLAH RAHMAN
SEORANG anggota polis dipukul sekumpulan Mat Rempit ketika menjalankan tugasan Op Selamat ke 20 di Kilometer 7 Jalan Kulai-Kota Tinggi di Kulai pada Ahad lalu.
Mangsa yang berusia 28 tahun luka pada bahagian kaki kanan membuat laporan polis pada pukul 3.04 petang pada hari kejadian.
Ketua Polis Daerah Kulai, Superintenden Tok Beng Yeow berkata, bertindak atas maklumat, empat suspek ditahan dalam dua serbuan berasingan di Kulai dan Johor Bahru, semalam.
“Sepasukan Pegawai dan Anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai membuat serbuan di dua lokasi berasingan dan menahan empat suspek warga tempatan berusia 23 hingga 39 tahun.
“Hasil siasatan awal keempat-empat suspek mengaku terbabit dalam kejadian merusuh dan perlumbaan haram.
“Tiga daripada suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan penyalahgunaan dadah dan jenayah,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beng Yeow berkata, semua suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini hingga 28 April ini.
Tambah beliau, kes disiasat dibawah seksyen 186 dan 146 kanun keseksaan.
Leave a Reply