30 rakyat Malaysia selamat meninggalkan Port Sudan, menuju ke Jeddah

SERAMAI rakyat Malaysia selamat meninggalkan Port Sudan menaiki kapal Tentera Laut Arab Saudi menuju ke Jeddah selepas mengharungi perjalanan darat yang amat mencabar.

Kementerian Luar hari ini memaklumkan bahawa perjalanan merentasi Laut Merah itu dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya 12 jam.

“Kami menyatakan penghargaan ikhlas kepada Kerajaan Arab Saudi dan Kerajaan Emiriah Arab Bersatu kerana menjayakan proses pemindahan,” kata Wisma Putra menerusi media sosial, lapor Astro Awani.

Semalam, Menteri Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memberitahu, 30 rakyat Malaysia yang terkandas di Khartoum tiba di Port Sudan pada 8.07 malam waktu Malaysia pada Isnin selepas perjalanan darat sejauh 1,233 kilometer yang mengambil masa 30 jam.

Dalam misi itu, Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain dalam proses pemindahan itu termasuk 14 warga Singapura; enam warga Kemboja; dua warga Amerika Syarikat dan masing-masing seorang warga Thailand, Filipina, Sudan dan Palestin.

Menurut kerajaan Arab Saudi, kapal terbaharu yang tiba di Jeddah hari ini membawa 1,687 individu terdiri daripada 58 kewarganegaraan termasuk warga Indonesia, Amerika Syarikat, British, Jerman dan Perancis.

Arab Saudi telah menerima beberapa kumpulan individu terkandas dari Sudan melalui udara dan laut bermula dengan kapal-kapal yang tiba di Jeddah pada Sabtu lalu.

Negara asing berpusu-pusu membawa keluar warganegara masing-masing dari Sudan yang terjerumus dalam konflik susulan pertempuran yang tercetus antara pasukan tentera (SAF) dan pasukan separa tentera (RSF) sejak pertengahan April.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *