TIGA rumah kongsi yang didiami pekerja di tapak pembinaan bangunan kerajaan di Tunjong, Kota Bharu musnah dalam kebakaran petang semalam.
Bagaimanapun, 300 buruh binaan yang majoritinya warga Bangladesh dilaporkan terselamat dalam kejadian pada pukul 6.20 petang itu.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tunjong, Zainal Fitri Husain berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pukul 6.22 petang berhubung kebakaran yang membabitkan kediaman berstruktur separuh kekal itu.
“Seramai 15 pegawai dan anggota bergegas ke lokasi dan sebaik tiba, dua rumah kongsi itu sedang terbakar dan api mula merebak ke unit yang ketiga.
“Rumah kongsi itu dibina dalam satu bangunan dan dibahagikan dalam lima unit yang didiami kira-kira 300 pekerja yang ketika itu kebanyakannya sedang bekerja,” katanya menurut Harian Metro.
Zainal Fitri berkata kepantasan bomba berjaya menyelamatkan dua unit rumah kongsi namun tiga lagi musnah 90 peratus.
Katanya, faktor binaan daripada kayu dan zink serta cuaca panas dan berangin menyebabkan kebakaran cepat merebak.
“Kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam selepas itu dan berjaya dipadam sepenuhnya pada 7.30 malam.
“Bagaimanapun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
Leave a Reply