Oleh RIZQI ZABIDI
POLIS sudah menahan seorang suspek dan masih memburu beberapa individu yang didakwa melarikan seorang lelaki dalam kejadian di Shahab Perdana, Alor Setar yang klip videonya tular di media sosial sejak malam tadi.
Menurut Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir, laporan polis berhubung kejadian itu sudah pun dibuat oleh bapa mangsa, semalam.
Menurutnya, bapa mangsa berusia 46 tahun menerima maklumat kira-kira pukul 6.30 petang menyatakan anak lelakinya yang berusia 27 tahun, dilarikan beberapa individu.
“Berikutan itu, dia bergegas ke lokasi kejadian. Apabila tiba di lokasi tersebut, dia kemudiannya ditunjukkan klip video kejadian tersebut oleh orang awam yang berada di situ.
“Susulan itu, bapa mangsa membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dalam klip video berdurasi 41 saat itu, mangsa dilihat dipaksa memasuki sebuah kenderaan berwarna putih sambil dia menjerit kesakitan.
Kejadian itu dirakam orang awam yang berada di kawasan tersebut namun tiada butiran lanjut didedahkan mengenainya dalam klip video berkenaan.
Tambahnya, hasil siasatan dijalankan, polis kemudiannya berjaya menahan seorang suspek lelaki berusia 43 tahun, awal pagi ini.
“Setakat ini terdapat lima suspek terdiri daripada empat lelaki dan seorang wanita. Bagaimanapun seorang suspek sudah ditahan awal pagi tadi.
“Pihak kami sedang berusaha menghubungi mangsa dalam masa terdekat. Dalam masa sama, kami juga sedang berusaha memburu saki-baki suspek,” katanya.
Beliau memaklumkan, motif kejadian masih disiasat.
“Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 362 Kanun Keseksaan,” katanya.
Leave a Reply