MENTERI Luar, Datuk Seri Zambry Abdul Kadir memaklumkan, 30 rakyat Malaysia yang terperangkap di Khartoum, Sudan berjaya diselamatkan semalam.
“Semua mereka selamat tiba di Port Sudan pada pukul 2.07 petang waktu Sudan iaitu bersamaan 8.07 malam waktu Malaysia setelah melalui perjalanan sejauh 1,233 kilometer (km) dengan mengambil masa selama 30 jam.
“Pasukan Khas (TF) Ops Sudan Malaysia juga berjaya membantu mengeluarkan 26 warganegara lain untuk turut sama dalam proses evakuasi tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, 26 warganegara lain itu merangkumi seorang warga Filipina; enam warga Kemboja; 14 warga Singapura; seorang warga Thailand; dua warga Amerika Syarikat; seorang warga Palestin dan seorang warga Sudan.
Menurut beliau, dua rakyat Malaysia yang tidak terlibat dengan proses evakuasi tersebut berkhidmat di United Nations Mission in Sudan (UNMIS) di Abyei dan proses evakuasi mereka akan dilakukan oleh pihak United Nations.
“Selanjutnya, kita sedang mengusahakan untuk membawa kesemua 56 orang itu keluar dari Port Sudan melalui dua opsyen iaitu sama ada melalui laluan udara dengan sewaan khas pesawat atau melalui laluan laut (kapal laut).
“Ini bergantung kepada opsyen mana yang akan mendapat kelulusan paling cepat dan segera daripada pihak berkaitan,” ujar beliau.
Pada 21 April lalu, dua rakyat Malaysia dibawa keluar dan dipindahkan ke tempat selamat.
Berdasarkan data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), korban akibat pergolakan di Sudan sehingga kini meningkat kepada lebih 400 orang, manakala 3,500 lagi cedera.
Konflik bersenjata berkenaan tercetus sejak dua minggu lalu antara Angkatan Tentera Sudan dan pasukan separa tentera Rapid Support Forces (RSF).
Mengulas lanjut, Zambry berkata, keadaan rakyat Malaysia dan warganegara lain dalam konvoi Malaysia tersebut dimaklumkan sihat dan selamat.
“Sama-sama kita doakan agar proses mengeluarkan mereka dari Sudan berjaya dilakukan sesegera mungkin dan seterusnya kesemua mereka dapat pulang ke tanah air dengan selamat,” katanya lapor Sinar Harian.
Leave a Reply