Tragedi Aidilfitri, empat rumah rosak dipukul ribut

EMPAT buah rumah di Kampung Kubang Betong, Changlun rosak rosak akibat dipukul ribut dala kejadian pada hari raya kedua semalam.

Kebanyakan bumbung rumah terbabit diterbangkan angin kencang dalam kejadian pada pukul 3.30 petang.

Seorang mangsa, Ishak Ibrahim, 61, berkata, angin kencang disertai ribut menyebabkan bahagian atas atap zink rumah berterbangan dan air hujan masuk mencurah-curah ke dalam rumah.

“Semasa kejadian saya dan 12 ahli keluarga termasuk anak menantu serta cucu yang pulang ke rumahnya untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri terpaksa melarikan diri dengan keluar dari kediaman itu ketika kejadian ribut berkenaan.

“Kejadian angin kencang dan hujan hampir 30 minit sebelum ia menerbangkan atap zink rumahnya itu.

“Tiga bilik di bahagian atas yang menjadi tempat anak-anak serta menantu dan cucunya tidur termasuk tilam, bantal semua habis basah selepas kejadian itu,” katanya ketika dihugbungi hari ini.

Warga emas itu berkata, dia sempat melaungkan azan sewaktu kejadian dan angin pada waktu itu terlalu kencang namun bersyukur kerana semua ahli keluarga selamat.

“Rumah saya dua tingkat, mujur anak-anak semua masih boleh tidur di dalam dua bilik di tingkat bawah sejurus selepas kejadian.

“Mereka semua nak seronok pulang beraya namun tak sangka pula kejadian ini berlaku dan berharap ia tidak berulang lagi,” katanya, lapor Harian Metro.

Ishak berkata, dia kemudian membuat laporan polis berhubung kejadian itu dengan menganggarkan kerugian berjumlah RM6,000, selain dinding kayu juga turut rosak.

Katanya, setakat ini, atap zink rumahnya masih belum dibaiki namun berharap kejadian sama tidak berulang.


Comments

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *